Tuesday, December 22, 2009

Syukran Jazilan



Assalamualaikum wrt

Saya mengucapkan syukran jazilan kepada ustaz-ustaz kuliah lughah tahun satu Universiti al-Azhar cawangan Mansurah kerana menghadiahi saya dua jilid kitab nahu yang amat saya idamkan, iaitu kitab Audoh al-Masalik. Amat payah mencari kitab ini di tanah air. Sekalipun ada, harganya pula amat mahal.

Syukran jazilan juga kepada Ustaz Hakimi al-Geriki, Ustaz Daud, Ustaz Firdaus, Ustaz Ismail dan ustaz-ustaz lain yang muzakarah kitab at-Tuhfah as-Saniyyah dengan saya kerana menghadiahi peralatan mengajar. Mudah-mudahan sama-sama kita mendapat ganjaran majlis ilmu selama mana peralatan ini menjadi asbab kepada lancarnya majlis tadi.

Tidak lupa kepada ustazah-ustazah kuliah syariah tahun 2 , usuluddin tahun 2, usuluddin tahun 1 dan syariah tahun 1. Syukran jazilan kerana menghadiahi kitab-kitab kuliah kalian.


Kepada semua yang disebutkan tadi, saya amat menghargai pemberian antum. Semoga Allah memberkati usaha dan kesungguhan antum dalam menuntut ilmu nubuwwah.

Sedikit Nasihat (Kalau Layak Dinamakan Nasihat)

Ingatlah, ilmu yang dituntut bukan hanya sekadar untuk lulus imtihan dengan taqdir mumtaz, jayyid jiddan atau sebagainya. Bahkan tujuan utama kita menuntut ilmu adalah untuk memahami kalam Allah dan Hadis Rasul-Nya saw.

Kita semua bertanggungjawab untuk menyambung tugas meyebarkan dakwah Islam kepada umat Muhammad saw. Apabila sahaja kita meletakkan kaki di Bumi Anbiyak ini, dan bergelar pelajar di Universiti al-Azhar khususnya, maka ketahuilah bahawsanya kita telah menyediakan diri kita untuk menjadi pewaris kepada warisan yang ditinggalkan Baginda Rasulullah saw. Baginda tidak wariskan harta, bahkan ketika wafat Baginda hanya air kosong dan buah tamar yang ada di teratak usang Baginda. Warisan Baginda adalah ilmu nubuwwah. Nah, sekarang saya dan kalian diberi peluang seluasnya oleh Allah untuk menuntut harta warisan ini di bumi Mesir yang penuh barakah. Bumi yang lahirnya ribuan ulama rabbani. Kita mesti bulatkan tekad dan azam.

Saudara-saudara kita di tanah air amat memerlukan bimbingan daripada kita. Maka, dari sekarang saya dan kalian harus bersedia untuk menghadapi tugas sebenar di tanah air. Pemuda pemudi yang seusia kita, terlalu ramai yang hanyut dibawa badai kelalaian. Lihat sahaja masjid-masjid di seluruh negara. Beritahu saya, berapa banyak masjid yang diimarah oleh para pemuda kita. Boleh dibilang dengan jari. Tugas kitalah untuk sedarkan mereka. Tugas kita untuk sampaikan kepada mereka kalam Allah, kalam Rasulullah saw sehingga hati mereka memperoleh cahaya hidayah.

Untuk menyampaikan dakwah dengan bersandarkan hujah al-Quran dan Hadis, maka tidak dapat tidak kita mesti mengetahui Lughah Arab. Tidak memada sekadar membaca terjemahan, kemudian terus kita menganggap kita faham mafhum ayat atau hadis tadi. Kita perlu merujuk tafsir dan kitab-kitab syarah kepada hadis tadi, yang majoritinya adalah dalam bahasa Arab. Bagaimana mungkin kita dapat memahami kitab-kitab tersebut dengan betul kalau kita tidak menguasai ilmu alat yang termasuk juga padanya ilmu nahu, sorof dan balaghah.

Saya tidak maksudkan disini, bahawa kita mesti mengetahui ilmu alat ini dengan sangat mendalam (kecuali untuk kuliah lughah). Memada dengan mengetahui sekadar yang asas seperti yang terdapat dalam kitab at-Tuhfah as-Saniyyah atau al-Kawakib ad-Durriyyah. Tidak kira kita dari kuliyah lughah, syariah atau usul, kita mesti cuba memahami kitab-kitab asas ini.

Seperti yang saya katakan tadi, betulkan niat kita. Kita belajar untuk cari redha Allah. Kita mengaji ilmu alat supaya mudah untuk kita memahami ilmu-ilmu dalam disiplin yang lain kerana kebanyakan rujukannya adalah dalam bahasa arab.

Akhir kata, apa yang saya nasihatkan ini semuanya saya tujukan untuk diri saya juga. Mudah-mudahan Allah kurniakan kita semua cahaya ilmu, dan menerima kita semua sebagai khuwaidim ilmu-Nya. Amin Amin Amin..

Sunday, December 6, 2009

Hati Yang Mati



Hati yang mati
Tiada hakikat kehidupan
Tiada kenal Tuhan
Yang selayaknya disembah, dicintai, dirindui

Cinta hati yang mati
Sandarannya adalah nafsu
Benci hati yang mati
Adalah benci yang hadir dari nafsu
Nafsu menjadi imam
Syahawat menjadi pemimpin
Kejahilan memandunya
Kelalaian ditunggang
Cinta yang suci menjadi keji
Kerana hati yang mati

Insan yang mati hatinya
Dimabukkan oleh khamar dunia
Dunia itu jifah, bangkai kata junjungan mulia
Namun padanya dialah madu
Dialah nikmat
Sanggup berkorban segala
Demi dunia

Jalan syaitan dan iblis menjadi laluan
Suara muazzin, bacaan al-Quran ibarat halilintar
Memekak dan memecah gegendang telinga

Hati yang mati
Tiada mahu memahami ayat-ayat cinta
Yang Tuhan turunkan dalam 114 suratnya
Yang Tuhan siratkan dalam zahir yang tersurat
Unta yang dicipta
Langit yang tiada tiang
Gunung ganang yang dipasak
Bumi yang dihampar


Wahai segala hati yang mati
Hidupkan semula hatimu
Selagi masih punya kesempatan
Selagi nyawa belum ditenggorokkan






7 Nov 2009/ 14:05/Mansurah

















Friday, December 4, 2009

Huruf Jar Asli, Zaid, dan Syibih Zaid

Soalan: salam ust,ape p'bezaan antara huruf jar asli , huruf jar zaidah dgn huruf jar syibih zai'd?

(Jawapan dibawah ini dijawab oleh sahabat saya, Ust Yasir Sabil)

HURUF JARR

Apa itu Huruf dan apa itu Jarr? Dan pembahagiannya?

Sebelum kita lanjutkan perbahasan tentang huruf jarr. Ana mahu menerangkan secara ringkas mengenai persoalan yang ana lontarkan di atas.


Pertama : Apa itu Huruf ?

Huruf adalah kata yang menunjukkan makna, bilamana ia digabungkan dengan kata lain, seperti huruf jarr, nashab atau jazm. Perbahasan mengenai huruf sememangnya panjang, maka ia memerlukan penjelasan yang detail dalam menerangkannya.


Kedua : Apa itu Jarr?

Jarr adalah setiap ‘amil yang selalu menjadikan bacaan jarr pada kalimah isim, baik ‘amil tersebut berupa huruf ataupun idhafat. ‘Amil jarr yang berbentuk huruf adalah Huruf Jarr dan Huruf Qasam (sumpah).

Para ulama nahwu berbeza pendapat mengenai jumlah huruf jarr.Sebagaimana Imam Ibnu Malik mengatakan huruf jarr mengandungi sebanyak dua puluh huruf, sementa­ra Ibnu Ajurumi mengatakan huruf jarr mengandungi sepuluh huruf, termasuk huruf qasam.


وحرف الخفض وهي : مِنْ ، وإلى ، وعن ، وعلى ، وفي ، ورُبَّ ، والباء ، والكافُ ، واللام (وحروف القسم وهي : الواوُ ، والباء ، والتاءُ ) – متن الأجرومية ص : ١

Pendapat yang masyhur adalah berjumlah dua puluh huruf. Hal demikian itu sesuai dengan ungkapan Qa’idah Matan Alfiah Ibnu Malik :

هَاكَ حروف الجرِّ وهي مِنْ إلى * حَتَّى خَلاَ حَاشَا عَدا في عَنْ عَلَى
مُذْ مُنْذُ رُبَّ اللامُ كَيْ وَاوٌ وَتَا * والكا فُ والبَا والعلَّ ومَتَى

(متن ألفية ابن مالك في النحو والصرف لأبي عبد الله محمد بن هبد الله بن مالك الأندلسي – حرف الجر- ص: ٨٧)



PEMBAHAGIAN HURUF JARR

Perbahasan mengenai pembahagiannya. Maka huruf Jarr itu diatas tiga bahagian:

1- Asli (الأصلي)

Merupakan Huruf Jarr yang mempunyai makna dan memerlukan ta’alluq (hubungan dengan kalimah lain) untuk memahami makna yang dikandung, seperti contoh pada lafaz
كَتَبْتُ بِالْقلَمِ
makna الباء boleh difahami kerana ada ta’alluq dengan lafadh كَتَبْتُ .

2- Tambahan (الزائد)
Merupakan Huruf Jarr yang tidak memerlukan makna dan ta’alluq.
Contoh : بِحَسْبِكَ العِلْمُ (kecukupanmu adalah ilmu)

الباء : Huruf jar zaid
حسب : Mubtada marfu3 dengan dhommah muqaddarah. Terhalang zahirnya harakat dhommah itu kerana isytighal mahal (sibuknya keadaan i3rabnya) dengan harakat huruf jar zaid.

ك : Mahal jar kerana mudhof ilaih kepada hasbu

العلم : Khobar marfu3 dengan dhommah zohirah


3- Menyerupai huruf Tambahan (الشبيه بالزائد)

Merupakan Huruf Jarr yang mempunyai suatu makna tapi tidak memerlukan ta’alluq untuk memahaminya. Contoh perkataan رُبَّ :
رُبَّ كِتابٍ مُفِيْدٍ قَرَأتُ
رُبَّ : حرف جر الشبيه بالزائد
كتاب : مفعول به منصوب بفتحة مقدرة منع من ظهورها اشتغال المحل بحركة حرف الجر الشبيه بالزائد
مفيد : نعت
قرأتُ : فعل وفاعل


المراجع
- تسهيل نيل الأماني في شرح عوامل الجرجاني للعلامة أحمد بن محمد زين بن مصطفى الفطاني.
- جامع الدروس العربية، للشيخ مصطفى بن سليم الغلاييني ، دار الفكر .
- التطبيق النحوي ، للدكتور عبده الزاجي ، دار النهضة العربية .
- متن ألفية ابن مالك في النحو والصرف . - متن الأجرومية في النحو والصرف.

Saturday, November 28, 2009

Perbezaan Zu al-Asmaa as-Sittah dan Zu Bani To-iyah

Assalamualaikum wrt


Saya dapat soalan melalui chatbox,

ingin tahu : salam ustaz..cmne nk beza zu asma' sittah dan zu isim mausul??


Jawapan saya :

ذو adalah salah satu daripada al-asmaa as-sittah yang dirafa3kan dengan wau, dinasab dengan alif dan dijarkan dengan ya.

Namun, disyaratkan pada 'zu' untuk beramal sebagai salah satu al-asmaa as-sittah supaya ia memberi makna صاحب (yang empunya @ memiliki ) Misalnya

جاءني ذو مال = Telah datang padaku seorang yang memiliki harta.

Dalam matan Alfiyyah Ibnu Malik,

من ذاك ذو إن صحبةً أبانا
"Dari asmaa sittah itu adalah 'zu'. Sekiranya ia memberi makna sohbah maka nyatalah ia (sebagai asmaa sittah)"

Disyaratkan demikian untuk membezakan dengan 'zu' yang digunakan oleh Bani To-iyah. Pada mereka zu tidak memberi makna sohbah @ sohib. Bahkan ia memberi makna الذى dan beramal sebagai isim mausul.


Perbezaan Dari Segi I3rab

Dari segi i3rab, zu Bani To-iyah ini juga tidak sama dengan zu asmaa sittah. Zu Bani To-iyah ini adalah mabni. Oleh kerana itu, ia tetap dibaca dengan 'zu' baik dalam keadaan rafa3, nasab atau jar.

Misalnya

جاءني ذو قام
رأيت ذو قام
مررت بذو قام



Cara membezakan keduanya

Kalau kedua-duanya datang dalam i3rab rafa3, mungkin akan berlaku kekeliruan kerana keduanya rafa3 dengan wau. Namun kita boleh bezakan dengan siyaqul kalam. Kita boleh faham bila kita cuba memahami atau menterjemah jumlah yang ada padanya 'zu'.

Misalnya contoh tadi جاءني ذو قام .

Kita terjemah dengan makna sohib maka akan jadi - Telah datang padaku orang yang memiliki berdiri. Sangat tidak sesuai.

Cuba terjemah pula dengan makna allazi - Telah datang padaku orang yang berdiri. Sesuai.

Adapun dalam keadaan nasab dan jar, maka perbezaan keduanya adalah jelas. Wallahu a'lam bissowab.



Rujukan - Syarah Ibnu Aqil Dar at-Tolai3 Madinah Nasr Qaherah juzuk 1 m/s 24

Friday, November 27, 2009

Salam Idul Adha Buat Keluarga Tercinta


Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar


Wa Lillah al-Hamd


Assalamualaikum wrt.


Terubat sungguh rasanya hati ini bila dapat berbual dengan mak, abah dan adik-adik sebentar tadi menggunakan YM. Rindu sangat rasanya. Lebih-lebih lagi bila mak yang baru sahaja pulang berewang di masjid qaryah bergegas menuju komputer Amiruddin, adik bongsu saya sebaik sahaja dia dapat tahu saya yang sedang di talian.


Walaupun agak sukar untuk membuat panggilan kerana line yang agak sibuk, maklumlah Hari Raya namun setelah beberapa cubaan berjaya juga. Sayu hati ini bila Amiruddin beritahu yang mak rindu nak dengar suara saya dan zaujah.




libra_beb (11/27/2009 10:16:10 AM): mak nk tngk gmbr blong


ibnu_mualla (11/27/2009 10:16:16 AM): mak da balik eh


ibnu_mualla (11/27/2009 10:16:22 AM): gambar kat sini ke


libra_beb (11/27/2009 10:16:34 AM): ah2


ibnu_mualla (11/27/2009 10:16:43 AM): jap


libra_beb (11/27/2009 10:17:13 AM): mk nk dgr suara blomg


libra_beb (11/27/2009 10:17:20 AM): call laa cpt balong :)


ibnu_mualla (11/27/2009 10:18:21 AM): jap ye


ibnu_mualla (11/27/2009 10:18:23 AM): line sibuk sikit


libra_beb (11/27/2009 10:18:30 AM): mk cakap..


libra_beb (11/27/2009 10:18:44 AM): mk rindu suara blong


ibnu_mualla (11/27/2009 10:18:52 AM): jap tengah try


libra_beb (11/27/2009 10:19:03 AM): mk nk dgr suara kk faridah skali


Berkaca juga kelopak mata saya membaca semula perbualan kami tadi. Teringat masa-masa indah sedari kecil hinggalah sekarang. Kenangan saya dan keluarga tercinta. Di dalamnya ada yang manis, terkadang terpalit juga pahitnya. Padanya ada suka, terkadang singgah juga dukanya. Itulah fitrah Allah yang difitrahkan kepada semua hamba-Nya.


Satu masa dulu ketika Allah menguji keluarga kami dengan keterbatasan keperluan hidup, mak lah sayap kiri yang paling kuat membantu abah demi meneruskan kehidupan kami adik-beradik. Saya masih ingat, dengan memasukkan duit belanja sekolah sebanyak 5o sen ke dalam sapu tangan, mak kemudiannya mencium dan membelai rambut saya sambil berdoa.


Untuk mendapat duit lebih untuk belanja sekolah, saya yang pada ketika itu berusia 9 tahun minta pada mak agar membuat nasi lemak dan kuih-muih, dan saya sanggup pergi menjaja dari flat ke flat. Alhamdulillah Allah itu Rahman dan Razzaq. Dari sebakul, jadi dua bakul sehari. Dari seorang, kemudian adik-adik saya pun turut berminat dengan 'komisyen' yang diberi oleh mak. Dari situ bermulalah siri bisnes nasi lemak mak sampai sekarang. Kepada para 'pencinta' nasi lemak sekitar Johor Bahru, dijemput datang ke Gerai Nasi Lemak Cik Ani yang kini beroperasi di Medan Selera Taman Universiti Skudai. Hehe, xpe ke promote kat sini ni ;)


Kepada abah dan mak, Kamil dan Faridah disini memohon ampun dan maaf atas segala salah silap baik yang sengaja atau tidak. Halalkan segala didikan dan tarbiyyah yang diberi selama ini. Tiada apa yang Kamil mahukan daripada mak dan abah, kecuali keredhaan kalian. Tiada nilainya ilmu dan amal yang seorang anak peroleh dan lakukan kalau tidak diiringi dengan redha kedua orangtuanya.

Kepada adik-adik, Abanglong minta maaf segala salah silap ye. Kalau ada tersinggung kata, tertinggi suara itu semua tidak lain hanyalah kerana mahu melihat kita semua menjadi hamba Allah yang soleh dan bertaqwa. Berkhidmatlah sepenuh dan seikhlas hati kepada mak dan abah. Gembirakan mereka selagi kita masih diberi peluang melakukannya. Semoga kita akan kekal menjadi keluarga, hingga ke syurga nanti insyaAllah.

Salam Idul Adha dari kami jauh di Bumi Anbiyak.


Assalamualaikum wrt.