Tuesday, December 22, 2009

Cinta Kepada Rasulullah s.a.w

Assalamualaikum wrt

Daripada Anas r.a, telah bersabda Rasulullah s.a.w,

لايؤمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من ولده ووالده والناس أجمعين
" Tidak sempurna iman seseorang kamu, sehinggalah diriku lebih dicintainya daripada anaknya, ayahnya dan manusia keseluruhannya." Muttafaqun 'Alaih

Rasa cinta adalah fitrah insani yang tidak mampu disanggah oleh seorang manusia yang normal pemikirannya. Cinta kepada ibu, ayah, adik-beradik, kawan-kawan dan ramai lagi. Seorang pembunuh yang pernah membunuh 1000 jiwa sekalipun, tentu masih ada siapa-siapa di dunia yang dicintainya dan dia tidak sanggup bahkan tidak terlintas pun di hatinya untuk membunuh insan yang dia cintai tersebut. Rasa cinta yang sebegini adalah cinta yang tabi'i.

Imam Nawawi rahimahullah di dalam Syarah Sohih Muslim menukil kalam Imam Abu Sulaiman al-Khottobi tentang yang dimaksudkan dalam hadis ini. Kata beliau, "Tidak murad(dikehendaki) disini cinta yang bersifat tabi'i. Bahkan yang dikehendaki dengannya adalah rasa cinta yang ikhtiari."

Kata Imam al-Khottobi lagi, " Maka maknanya adalah seolah-olah Baginda s.a.w bersabda, 'Tidak benar kamu dalam pengakuan cinta terhadapku sehinggalah dirimu 'tenggelam' dalam mentaatiku, dan engkau melebihkan keredhaanku mengatasi kehendakmu sekalipun kamu mendapat kesusahan kerananya "

Berkata Ibnu Batthol rahimahullah, " Makna hadis ini adalah, siapa yang sempurna imannya akan mengetahui bahawasanya hak Baginda s.a.w adalah melebihi hak orangtuanya, anaknya dan seluruh manusia lain. Ini adalah kerana Baginda lah yang telah bersusah payah menyampaikan risalah Islam kepada kita, sehingga dengannya kita terselamat daripada neraka Allah dan diberi petunjuk daripada mengikut kesesatan."

Antara Tanda Kecintaan Kepada Rasulullah s.a.w

1) Menjadikan Baginda saw Sebagai Qudwah

Antara tanda kecintaan kita kepada Rasulullah saw adalah dengan menjadikannya sebagai qudwah (ikutan) kita, memegang teguh sunnahnya, mencontohi kata-kata dan perlakuannya, mentaatinya dan menjauhi larangannya. Andai kita dikurnia nikmat atau diuji dengan musibah, kita beradab dengan peradaban Baginda saw ketika masa senang dan susahnya.

Firman Allah swt,

{ قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللّهُ }

"Katakanlah wahai Muhammad, 'Sekiranya kalian (wahai umatku) mencintai Allah, maka ikutlah daku, nescaya Allah mencintai kalian" Surah Ali Imran : 31


Firman Allah swt lagi,


{ لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًاِ }

" Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah s.a.w itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingati Allah " surah al-Ahzab : 21

Sabda Rasulullah saw,

لايؤمن أحدكم حتى يكون هواه تبعاً لما جئت به

"Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah kehendaknya mengikut syariat yang kubawa"



Imam Ibnu Kathir rahimahullah ketika mentafsir firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 112, (sila rujuk al-Quran) beliau mentafsir kalimah محسن dengan berkata,
أي : اتبع فيه الرسولَ , (yakni dia ittiba' atau mengikut Rasulullah di dalam amal solehnya).

2) Memperbanyakkan Selawat Ke Atas Rasulullah saw

Selawat yang terbaik adalah menyertakan sekali lafaz الصلاة dan السلام atau apa jua lafaz yang musytaq daripada keduanya.

Firman Allah,


{ إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًاِ }
" Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi s.a.w, (oleh itu) Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah ke atasnya dan ucapkanlah salam penghormatan terhadapnya" Surah al-Ahzab : 56


Tidak kiralah kita menggunakan

1) Sighah masdar seperti صلاة الله و سلامه عليه
2) Sighah fe'el madhi seperti صلى الله عليه و سلم
3) Sighah fe'el mudhari' seperti يصلى الله عليه و يسلم
4) Sighah fe'el amar seperti اللهم صل و سلم عليه

Semuanya boleh digunakan. Yang penting kita jangan jadi umat yang kedekut dan bakhil. Siapakah umat yang bakhil itu?

Sabda Rasulullah s.a.w ,

البخيل من ذكرت عنده و لم يصل علي

" Orang yang bakhil itu adalah dia yang namaku disebutkan namun dia tidak berselawat ke atasku " HR Tirmizi

3) Tidak Memanggil Baginda s.a.w Dengan 'Muhammad' Sahaja

Di dalam masyarakat Melayu kita sendiri, perkara ini adalah maklum. Memanggil orang tua yang layak dipanggil pakcik atau datuk dengan hanya menyebut namanya adalah perbuatan yang dianggap biadab. Begitu juga seorang bawahan memanggil ketuanya dengan menyebut namanya, biasanya dianggap tidak sesuai. Inikan pula Rasulullah saw. Junjungan besar, pemimpin agung, insan terulung. Maka lebih-lebih lagilah kita mesti menghormati Baginda dengan panggilan yang sesuai.

4) Dan Banyak Lagi Tanda-tanda Lain

Kesimpulan

Selepas cinta kepada Allah, cinta kepada junjungan kita Rasulullah s.a.w adalah cinta yang paling agung. Mencintai Baginda bermakna kita mencintai Allah. Mencintai Baginda bermakna kita mencintai apa jua yang dibawa oleh Baginda s.a.w. Mencintai Baginda juga bermakna kita bangga menjadikannya sebagai idola. Bahkan sememangnya Baginda yang paling layak menjadi idola.

Oleh itu, marilah sama-sama kita muhasabah diri kita. Sejauh manakah cinta saya dan kalian kepada Rasulullah s.a.w. Adakah sekadar di bibir, atau sekadar tulisan. Apakah yang telah kita lakukan sebagai tanda kecintaan kita yang mendalam kepada Baginda? Sama-sama lah kita renungkan. Semoga Allah kurniakan hidayah dan taufiq untuk kita mencintai Rasulullah s.a.w dengan ertikata yang sebenar. Wallahu a'lam.



Rujukan,
1) Sohih Bukhari
2) Sohih Muslim
3) Syarah Sohih Muslim oleh Imam Nawawi
4) al-Mu'jam al-Wasit
5) Mushaf Terjemahan al-Quran Ditas-hih oleh Lajnah Pentas-hih Mushaf al-Azhar as-Syarif
6)Mukhtasar Sohih Tafsir Ibn Kathir oleh Syeikh Abu Abdillah Mustafa bin al-Adawi

1 comment: