Tuesday, December 22, 2009

Syukran Jazilan



Assalamualaikum wrt

Saya mengucapkan syukran jazilan kepada ustaz-ustaz kuliah lughah tahun satu Universiti al-Azhar cawangan Mansurah kerana menghadiahi saya dua jilid kitab nahu yang amat saya idamkan, iaitu kitab Audoh al-Masalik. Amat payah mencari kitab ini di tanah air. Sekalipun ada, harganya pula amat mahal.

Syukran jazilan juga kepada Ustaz Hakimi al-Geriki, Ustaz Daud, Ustaz Firdaus, Ustaz Ismail dan ustaz-ustaz lain yang muzakarah kitab at-Tuhfah as-Saniyyah dengan saya kerana menghadiahi peralatan mengajar. Mudah-mudahan sama-sama kita mendapat ganjaran majlis ilmu selama mana peralatan ini menjadi asbab kepada lancarnya majlis tadi.

Tidak lupa kepada ustazah-ustazah kuliah syariah tahun 2 , usuluddin tahun 2, usuluddin tahun 1 dan syariah tahun 1. Syukran jazilan kerana menghadiahi kitab-kitab kuliah kalian.


Kepada semua yang disebutkan tadi, saya amat menghargai pemberian antum. Semoga Allah memberkati usaha dan kesungguhan antum dalam menuntut ilmu nubuwwah.

Sedikit Nasihat (Kalau Layak Dinamakan Nasihat)

Ingatlah, ilmu yang dituntut bukan hanya sekadar untuk lulus imtihan dengan taqdir mumtaz, jayyid jiddan atau sebagainya. Bahkan tujuan utama kita menuntut ilmu adalah untuk memahami kalam Allah dan Hadis Rasul-Nya saw.

Kita semua bertanggungjawab untuk menyambung tugas meyebarkan dakwah Islam kepada umat Muhammad saw. Apabila sahaja kita meletakkan kaki di Bumi Anbiyak ini, dan bergelar pelajar di Universiti al-Azhar khususnya, maka ketahuilah bahawsanya kita telah menyediakan diri kita untuk menjadi pewaris kepada warisan yang ditinggalkan Baginda Rasulullah saw. Baginda tidak wariskan harta, bahkan ketika wafat Baginda hanya air kosong dan buah tamar yang ada di teratak usang Baginda. Warisan Baginda adalah ilmu nubuwwah. Nah, sekarang saya dan kalian diberi peluang seluasnya oleh Allah untuk menuntut harta warisan ini di bumi Mesir yang penuh barakah. Bumi yang lahirnya ribuan ulama rabbani. Kita mesti bulatkan tekad dan azam.

Saudara-saudara kita di tanah air amat memerlukan bimbingan daripada kita. Maka, dari sekarang saya dan kalian harus bersedia untuk menghadapi tugas sebenar di tanah air. Pemuda pemudi yang seusia kita, terlalu ramai yang hanyut dibawa badai kelalaian. Lihat sahaja masjid-masjid di seluruh negara. Beritahu saya, berapa banyak masjid yang diimarah oleh para pemuda kita. Boleh dibilang dengan jari. Tugas kitalah untuk sedarkan mereka. Tugas kita untuk sampaikan kepada mereka kalam Allah, kalam Rasulullah saw sehingga hati mereka memperoleh cahaya hidayah.

Untuk menyampaikan dakwah dengan bersandarkan hujah al-Quran dan Hadis, maka tidak dapat tidak kita mesti mengetahui Lughah Arab. Tidak memada sekadar membaca terjemahan, kemudian terus kita menganggap kita faham mafhum ayat atau hadis tadi. Kita perlu merujuk tafsir dan kitab-kitab syarah kepada hadis tadi, yang majoritinya adalah dalam bahasa Arab. Bagaimana mungkin kita dapat memahami kitab-kitab tersebut dengan betul kalau kita tidak menguasai ilmu alat yang termasuk juga padanya ilmu nahu, sorof dan balaghah.

Saya tidak maksudkan disini, bahawa kita mesti mengetahui ilmu alat ini dengan sangat mendalam (kecuali untuk kuliah lughah). Memada dengan mengetahui sekadar yang asas seperti yang terdapat dalam kitab at-Tuhfah as-Saniyyah atau al-Kawakib ad-Durriyyah. Tidak kira kita dari kuliyah lughah, syariah atau usul, kita mesti cuba memahami kitab-kitab asas ini.

Seperti yang saya katakan tadi, betulkan niat kita. Kita belajar untuk cari redha Allah. Kita mengaji ilmu alat supaya mudah untuk kita memahami ilmu-ilmu dalam disiplin yang lain kerana kebanyakan rujukannya adalah dalam bahasa arab.

Akhir kata, apa yang saya nasihatkan ini semuanya saya tujukan untuk diri saya juga. Mudah-mudahan Allah kurniakan kita semua cahaya ilmu, dan menerima kita semua sebagai khuwaidim ilmu-Nya. Amin Amin Amin..

2 comments:

  1. Assalamualaikum ya syaikhuna.

    Harap tuan guru sentiasa bahagia dalam rahmat ALLAH bersama is3 tercinta. Apa yang kami berikan itu takkan sama sepertimana tuan guru telah mengajar kami. Bahkan apa yang terhambur keluar dari mulut guru itu takkan setanding 'mahal'nya ilmu itu jika digantikan dengan emas setinggi gunung sekalipun. Walaupun 1 ayat sekalipun. Apatah lagi beribu2 ayat yang telah kami pelajari daripada tuan guru. Jutaan terima kasih kerana sudi mengajar kami. Pengorbanan tuan guru memang tidak boleh dibayar dengan wang ringgit kerana ilmu bukanlah boleh dibeli di pasar2 malam.

    Kami menjunjung kasih dan tinggi nasihat daripada tuan guru. Mudah2an tuan guru sudilah harapnya mendoakan kami yang faqir ini. Tanpa guru siapa lah kami. Nabi tak wariskan harta benda, tapi telah wariskan ilmu yang sungguh bernilai. Dan kami sedaya upaya takkan lepaskan peluang ini untuk mengambil seboleh mungkin warisan harta Nabi yang kini dipegang oleh para ulamak seperti tuan guru. Ulamak lah yang sekarang ini memegang harta warisan Nabi ini. Jika kami yang dhoif ini tak rebut lagi, maka kamilah termasuk dalam golongan orang yang rugi....

    Terima kasih sekali lagi tuan guru. Doakan kami ya Syaikhuna Ustaz Ahmad Kamil...

    Kami menjunjung kasih peringatan dari tuan guru yang begitu bermakna...

    ReplyDelete