Saturday, November 28, 2009

Perbezaan Zu al-Asmaa as-Sittah dan Zu Bani To-iyah

Assalamualaikum wrt


Saya dapat soalan melalui chatbox,

ingin tahu : salam ustaz..cmne nk beza zu asma' sittah dan zu isim mausul??


Jawapan saya :

ذو adalah salah satu daripada al-asmaa as-sittah yang dirafa3kan dengan wau, dinasab dengan alif dan dijarkan dengan ya.

Namun, disyaratkan pada 'zu' untuk beramal sebagai salah satu al-asmaa as-sittah supaya ia memberi makna صاحب (yang empunya @ memiliki ) Misalnya

جاءني ذو مال = Telah datang padaku seorang yang memiliki harta.

Dalam matan Alfiyyah Ibnu Malik,

من ذاك ذو إن صحبةً أبانا
"Dari asmaa sittah itu adalah 'zu'. Sekiranya ia memberi makna sohbah maka nyatalah ia (sebagai asmaa sittah)"

Disyaratkan demikian untuk membezakan dengan 'zu' yang digunakan oleh Bani To-iyah. Pada mereka zu tidak memberi makna sohbah @ sohib. Bahkan ia memberi makna الذى dan beramal sebagai isim mausul.


Perbezaan Dari Segi I3rab

Dari segi i3rab, zu Bani To-iyah ini juga tidak sama dengan zu asmaa sittah. Zu Bani To-iyah ini adalah mabni. Oleh kerana itu, ia tetap dibaca dengan 'zu' baik dalam keadaan rafa3, nasab atau jar.

Misalnya

جاءني ذو قام
رأيت ذو قام
مررت بذو قام



Cara membezakan keduanya

Kalau kedua-duanya datang dalam i3rab rafa3, mungkin akan berlaku kekeliruan kerana keduanya rafa3 dengan wau. Namun kita boleh bezakan dengan siyaqul kalam. Kita boleh faham bila kita cuba memahami atau menterjemah jumlah yang ada padanya 'zu'.

Misalnya contoh tadi جاءني ذو قام .

Kita terjemah dengan makna sohib maka akan jadi - Telah datang padaku orang yang memiliki berdiri. Sangat tidak sesuai.

Cuba terjemah pula dengan makna allazi - Telah datang padaku orang yang berdiri. Sesuai.

Adapun dalam keadaan nasab dan jar, maka perbezaan keduanya adalah jelas. Wallahu a'lam bissowab.



Rujukan - Syarah Ibnu Aqil Dar at-Tolai3 Madinah Nasr Qaherah juzuk 1 m/s 24

Friday, November 27, 2009

Salam Idul Adha Buat Keluarga Tercinta


Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar


Wa Lillah al-Hamd


Assalamualaikum wrt.


Terubat sungguh rasanya hati ini bila dapat berbual dengan mak, abah dan adik-adik sebentar tadi menggunakan YM. Rindu sangat rasanya. Lebih-lebih lagi bila mak yang baru sahaja pulang berewang di masjid qaryah bergegas menuju komputer Amiruddin, adik bongsu saya sebaik sahaja dia dapat tahu saya yang sedang di talian.


Walaupun agak sukar untuk membuat panggilan kerana line yang agak sibuk, maklumlah Hari Raya namun setelah beberapa cubaan berjaya juga. Sayu hati ini bila Amiruddin beritahu yang mak rindu nak dengar suara saya dan zaujah.




libra_beb (11/27/2009 10:16:10 AM): mak nk tngk gmbr blong


ibnu_mualla (11/27/2009 10:16:16 AM): mak da balik eh


ibnu_mualla (11/27/2009 10:16:22 AM): gambar kat sini ke


libra_beb (11/27/2009 10:16:34 AM): ah2


ibnu_mualla (11/27/2009 10:16:43 AM): jap


libra_beb (11/27/2009 10:17:13 AM): mk nk dgr suara blomg


libra_beb (11/27/2009 10:17:20 AM): call laa cpt balong :)


ibnu_mualla (11/27/2009 10:18:21 AM): jap ye


ibnu_mualla (11/27/2009 10:18:23 AM): line sibuk sikit


libra_beb (11/27/2009 10:18:30 AM): mk cakap..


libra_beb (11/27/2009 10:18:44 AM): mk rindu suara blong


ibnu_mualla (11/27/2009 10:18:52 AM): jap tengah try


libra_beb (11/27/2009 10:19:03 AM): mk nk dgr suara kk faridah skali


Berkaca juga kelopak mata saya membaca semula perbualan kami tadi. Teringat masa-masa indah sedari kecil hinggalah sekarang. Kenangan saya dan keluarga tercinta. Di dalamnya ada yang manis, terkadang terpalit juga pahitnya. Padanya ada suka, terkadang singgah juga dukanya. Itulah fitrah Allah yang difitrahkan kepada semua hamba-Nya.


Satu masa dulu ketika Allah menguji keluarga kami dengan keterbatasan keperluan hidup, mak lah sayap kiri yang paling kuat membantu abah demi meneruskan kehidupan kami adik-beradik. Saya masih ingat, dengan memasukkan duit belanja sekolah sebanyak 5o sen ke dalam sapu tangan, mak kemudiannya mencium dan membelai rambut saya sambil berdoa.


Untuk mendapat duit lebih untuk belanja sekolah, saya yang pada ketika itu berusia 9 tahun minta pada mak agar membuat nasi lemak dan kuih-muih, dan saya sanggup pergi menjaja dari flat ke flat. Alhamdulillah Allah itu Rahman dan Razzaq. Dari sebakul, jadi dua bakul sehari. Dari seorang, kemudian adik-adik saya pun turut berminat dengan 'komisyen' yang diberi oleh mak. Dari situ bermulalah siri bisnes nasi lemak mak sampai sekarang. Kepada para 'pencinta' nasi lemak sekitar Johor Bahru, dijemput datang ke Gerai Nasi Lemak Cik Ani yang kini beroperasi di Medan Selera Taman Universiti Skudai. Hehe, xpe ke promote kat sini ni ;)


Kepada abah dan mak, Kamil dan Faridah disini memohon ampun dan maaf atas segala salah silap baik yang sengaja atau tidak. Halalkan segala didikan dan tarbiyyah yang diberi selama ini. Tiada apa yang Kamil mahukan daripada mak dan abah, kecuali keredhaan kalian. Tiada nilainya ilmu dan amal yang seorang anak peroleh dan lakukan kalau tidak diiringi dengan redha kedua orangtuanya.

Kepada adik-adik, Abanglong minta maaf segala salah silap ye. Kalau ada tersinggung kata, tertinggi suara itu semua tidak lain hanyalah kerana mahu melihat kita semua menjadi hamba Allah yang soleh dan bertaqwa. Berkhidmatlah sepenuh dan seikhlas hati kepada mak dan abah. Gembirakan mereka selagi kita masih diberi peluang melakukannya. Semoga kita akan kekal menjadi keluarga, hingga ke syurga nanti insyaAllah.

Salam Idul Adha dari kami jauh di Bumi Anbiyak.


Assalamualaikum wrt.

Sunday, November 22, 2009

Aku, Engkau dan Cinta Kerana Allah

Salam dari ardil kinanah
dari saudaramu
yang pernah saban waktu
sering tertanya
apakah mungkin ditemukan kembali

namun pertanyaan itu sirna
tika hati menyandarkan halnya
kepada Pencipta segala ahwal
bahawa perpisahan yang pernah terjadi
terkandung seribu hikmah

Maha Suci Dia
Yang Memisah dan Menemukan
Dengan tautan seribu rindu
Rasa kasih dan sayang
Yang hanya pada-Nya

Pertemuan sekali ini
Meski dibatas jauhnya jarak
Luasnya lautan
Meski sekadar di alam maya
Benar-benar sudah memada
Menjadi syifak dua kerinduan

Untukmu daku berwasiat
wasiat seorang pencinta
kepada pencinta Sang Pencinta
Peliharalah cinta ruhwi ini
Semoga di sana
Dikurnia nikmat lindungan arasy
bagi yang menyintai
kerana Dia Yang Maha Menyintai

Dedikasi buat akhi Hafizuddin Ali setelah sekian lama tidak dapat dihubungi seusai tamat pengajian di Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling dan kini bertemu semula dilayar maya. Semoga ukhuwwah yang terjalin mendapat rahmat Allah. Amin.

Thursday, November 19, 2009

Satu Sore Bersama Syeikh Asyraf Hamid Hasanain


Assalamualaikum wrt.


Pada hari Selasa lepas (17/11/09) saya berpeluang untuk beramah mesra dan bermusohabah dengan imam Masjid Jamek al-Azhar as-Syarif iaitu a-Syeikh Asyraf Hamid Hasanain yang juga salah seorang guru tafaqquh al-Quran dan Tajwid di masjid tersebut dan bertugas sebagai khatib di Masjid Sayyid Syeikh Soleh al-Ja3fari. Beliau banyak berguru, menimba ilmu dan bermusohabah dengan Syeikh Abdul Gani Soleh al-Ja3fari hafizahullah dan sering bersama dengan gurunya dalam pelbagai safar ilmiyyah.



Kalimah tasyji3 dan targhib oleh Syeikh, walaupun tidak lama namun amat memberi kesan. Kata-katanya dihiasi dengan nur al-Quran, Hadis dan kalam para ulamak yang indah. Kerendahan hatinya membuatkan siapa sahaja yang menyintai ilmu dan ulama akan berasa kagum dan insaf. Beliau adalah keturunan Rasulullah s.a.w yang susur galur nasabnya sampai kepada Saidina Hussain r.a.


Semoga Allah melimpahi ramat dan kasih sayangnya kepada Syeikh Asyraf Hamid Hasanain hafizahullah. Amin.

Tuesday, November 10, 2009

KSAB 7 : Islamnya Abu Bakar dan Sahabat-sahabat Yang Masuk Islam Di Tangannya


Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a keluar untuk bertemu Rasulullah s.a.w. Beliau adalah seorang yang membenarkan segala kata-kata Rasulullah s.a.w sejak era jahiliyah lagi.

Setelah berjumpa dengan Rasulullah s.a.w, beliau berkata “Wahai Aba al-Qasim, tuan tidak menyertai majlis kaummu dan mereka menuduh tuan mengaibkan nenek moyang mereka”.

Maka jawab Rasulullah s.a.w “Sesungguhnya saya adalah Rasulullah. Saya menyerumu kepada Allah." Sebaik sahaja Baginda s.a.w habis berbicara, Saidina Abu Bakar r.a pun masuk Islam. Rasulullah s.a.w berasa amat gembira dengan keislaman beliau.

Saidina Abu Bakar r.a pun pergi berjumpa dengan Uthman bin Affan, Talhah bin Ubaidillah, Zubair bin al-Awwam dan Saad bin Abi Waqqas. Beliau mendakwah mereka kepada Islam, dan mereka pun masuk Islam. Radiyallahu anhum ajmain.

Esoknya beliau pergi bertemu dengan Uthman bin Maz3un, Abu Ubaidah bin al-Jarrah, Abdurrahman bin Auf , Abu Salamah bin Abdil Asad, dan al-Arqam bin Abi al-Arqam. Mereka juga akhirnya memeluk Islam. Radiyallahu anhum ajmain. (1)

(1) al-Bidayah wa an-Nihayah oleh Imam Ibnu Kathir

Diterjemah daripada kitab 150 Qissah min Hayati Abi Bakr as-Siddiq oleh as-Syeikh Ahmad Abdul 'Al at-Tohtowi

Sunday, November 8, 2009

KSAB 6- Bercerita Di Halaman Kaabah

Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a bercerita mengenai dirinya pada suatu hari.

Dia berkata " Saya pernah duduk- duduk di halaman Kaabah. Pada masa itu Zaid bin Amr bin Nufail juga duduk sama. Tiba-tiba Ibnu Abi as-Solt lalu berhampiran dan berkata kepada Zaid, "Selamat pagi wahai 'Baghi al-khoir' (pencari kebaikan)".

Zaid : Khoir (Baik).

Ibnu Abi as-Solt : Adakah kamu sudah menjumpai kebaikan itu?

Zaid : Belum

Maka Ibnu Abi as-Solt berkata (dalam syair),

كل دين يوم القيامة إلا * ما مضى في الحنيفية بور

Semua agama tidak berjaya pada hari kiamat
Melainkan apa yang telah lalu iaitu al-Hanifiyyah (agama Nabi Ibrahim)

Kemudian beliau bertanya pada Saidina Abu Bakar r.a "Nabi yang ditunggu-tunggu ni daripada kaum kami atau kaum tuan?"

Ibnu Abi as-Solt mencelah, " Saya belum pernah dengar pula sebelum ni mengenai adanya nabi yang dinantikan dan diutus ".

S Abu Bakar menyambung ceritanya "Saya pun pergi menemui Waraqah bin Naufal. Saya menceritakan kepadanya mengenai hal ini"

Waraqah bin Naufal : Benar wahai anak saudaraku. Sesungguhnya aku adalah ahli kitab. Ketahulah bahawasanya nabi yang ditunggu ini adalah daripada nasab yang paling mulia, sedang kaum yang mempunyai nasab yang paling mulia itu adalah kaummu sendiri.

S Abu Bakar : Wahai pakcik, apakah yang dikatakan oleh nabi itu?

Waraaqah bin Naufal : Dia mengatakan seperti apa yang diberitakan mengenainya. Dia tidak zalim, tidak suka menzalimi, dan tidak suka membalas kezaliman.

"Maka apabila tiba pengutusan Nabi s.a.w, saya pun beriman dan membenarkan baginda", Saidina Abu Bakar menamatkan ceritanya. (1)

(1) Tarikh al-Khulafak oleh Imam Sayuti

Diterjemah daripada kitab 150 Qissah min Hayati Abi Bakr as-Siddiq oleh as-Syeikh Ahmad Abdul 'Al at-Tohtowi

Saturday, November 7, 2009

KSAB 5 : Talhah Mengajak Saidina Abu Bakar Menyembah Berhala


Setelah islamnya Saidina Abu Bakar r.a, orang-orang musyrikin Mekah merasa susah hati. Mereka bermesyuarat untuk mengutus seseorang kepada Saidina Abu Bakar dan mengajaknya kembali menyembah tuhan-tuhan mereka. Mereka memilih Talhah bin Ubaidillah.

Talhah pun mendatangi Saidina Abu Bakar dan pada ketika itu beliau berada bersama kaumnya.

Talhah berteriak : Wahai Abu Bakar, bangunlah untukku!

S Abu Bakar : Kenapa kau memanggilku?

Talhah : Aku memanggilmu supaya kau kembali menyembah Latta dan Uzza.

S Abu Bakar : Siapa Latta?

Talhah : Anak perempuan Allah.

S Abu Bakar : Kalau macam tu, siapa pula ibunya?

Talhah pun terdiam dan kedua bibirnya tidak mampu untuk berbicara. Lalu Saidina Abu Bakar r.a menghadap teman-teman Talhah seraya berkata "Tolong kawanmu jawab soalan saya" . Semua mereka hanya terdiam dan tidak mampu menjawab.

Setelah lama memandang teman-temannya, namun tiada seorang pun yang bersuara, maka Talhah berteriak lagi. "Bangunlah wahai Abu Bakar. Sesungguhnya aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah".

Saidina Abu Bakar pun memegangnya, dan memimpinnya bertemu Rasulullah s.a.w. (1)

(1) 3uyun al Akhbar

Diterjemah daripada kitab 150 Qissah min Hayati Abi Bakr as-Siddiq oleh as-Syeikh Ahmad Abdul 'Al at-Tohtowi

KSAB 4 : Khabar Yang 'Ajib


Hadrat Abu Bakar r.a telah bermimpi dan pada masa itu beliau berada di Syam. Lalu beliau menceritakan mimpinya kepada seorang rahib bernama Bahira.

Rahib : Tuan dari mana?

S Abu Bakar : Mekah

Rahib : Dari suku mana?

S Abu Bakar : Quraisy

Rahib : Apa pekerjaanmu?

S Abu Bakar : Peniaga

Rahib : Andainya Allah membenarkan mimpimu itu, sesungguhnya kelak akan diutus seorang nabi daripada kaummu. Kamu akan menjadi pembantunya semasa hayatnya dan menjadi khalifah penggantinya) selepas kewafatannya.

Maka Hadrat Abu Bakar pun merahsiakan apa yang dikhabarkan oleh rahib itu. (1)

(1) al-Khulafak ar-Rosyidun oleh Mahmud Syakir


Diterjemah daripada kitab 150 Qissah min Hayati Abi Bakr as-Siddiq oleh as-Syeikh Ahmad Abdul 'Al at-Tohtowi

KSAB 3 : Aku Tidak Pernah Sujud Kepada Berhala Walaupun Sekali


Dalam satu perhimpunan bersama para sahabat r.anhum, Hadrat Abu Bakar berkata :

“Aku tidak pernah sujud kepada mana-mana berhala pun. Demikian itu adalah kerana semasa aku menghampiri usia baligh, ayahku Abu Quhafah (kuniah @ gelaran untuk ayahnya) memegang tanganku dan membawaku ke satu bilik yang di dalamnya terdapat berhala-berhala. Lalu dia berkata padaku 'Inilah tuhan-tuhanmu, as-Syam al-’Awali, Kholani dan Zahab'.Aku pun mendekati berhala tersebut.

Kataku padanya 'Aku lapar, berilah aku makan', namun ia tidak menjawabnya.

Kukatakan lagi, 'Aku tidak berpakaian, berilah pakaian', namun tidak juga dijawab. Lalu aku melempar seketul batu besar dan mengenai mukanya (berhala)." (1)


(1) al-Khulafak ar-Rosyidun oleh Mahmud Syakir


Diterjemah daripada kitab 150 Qissah min Hayati Abi Bakr as-Siddiq oleh as-Syeikh Ahmad Abdul 'Al at-Tohtowi

Friday, November 6, 2009

KSAB 2 - Tidak Pernah Meneguknya Hatta Di Zaman Jahiliyyah


Adalah Saidina Abu Bakar r.a seorang yang sangat menjauhi perkara-perkara yang keji dan tidak baik semasa Zaman Jahiliyyah. Bahkan beliau mengharamkan arak ke atas dirinya sebelum masuk Islam lagi.

Berkata Saidatina Aisyah r.anha,

" Hadrat Abu Bakar r.a telah mengharamkan arak ke atas dirinya sendiri. Beliau tidak pernah meneguknya baik ketika jahiiyah apatah lagi selepas Islam. Sebabnya, pernah sekali beliau berjalan berhampiran seorang lelaki yang mabuk. Lelaki itu meletakkan tangannya pada najis, kemudian mendekatkan najis tersebut hampir ke mulutnya. Apabila dia tercium bau najis tersebut, dia pun membuangnya.

Hadrat Abu Bakar berkata ' Sesungguhnya lelaki ini tidak mengetahui apa yang dia lakukan, sedangkan dia boleh menghidu baunya'. Dari peristiwa itu beliau terus mengharamkan arak ke atas dirinya. " (1)

Seorang lelaki telah bertanya kepada beliau, "Adakah tuan meminum arak semasa jahiliyah?"

Jawab Hadrat Abu Bakar r.a : Aku minta perlindungan daripada Allah.

Lelaki : Kenapa?

Hadrat Abu Bakar : Aku amat menjaga kehormatan dan maruahku. Sesungguhnya orang yang meminum arak, dia adalah seorang yang mempersiakan harga diri dan maruahnya.(2)


(1) Sirah wa Hayah as-Siddiq - Majdi Fathi
(2) Tarikh al-Khulafak oleh Imam as-Sayuti


Diterjemah daripada kitab 150 Qissah min Hayati Abi Bakr as-Siddiq oleh as-Syeikh Ahmad Abdul 'Al at-Tohtowi

KSAB 1 - Kenapa Beliau Digelar As-Siddiq


Saidina Abu Bakar r.a digelar as-Siddiq kerana sentiasa membenarkan Rasulullah s.a.w. Mengenai hal ini, Ummul Mukminin Aisyah r.anha ada meriwayatkannya. Kata beliau,

'Ketika peristiwa Rasulullah s.a.w di'israk'kan (israk=perjalanan di waktu malam) ke Masjidil Aqsa, orang ramai mula bercerita mengenainya. Ramai orang (yang lemah iman) yang sebelumnya beriman dan membenarkan Rasulullah s.a.w kembali murtad. Beberapa orang lelaki bersegera menemui Abu Bakar r.a (dengan harapan supaya beliau turut murtad).

Mereka berkata : Apa pandangan engkau mengenai sahabatmu (Rasulullah s.a.w).Dia mendakwa telah berpergian ke Baitul Maqdis hanya untuk satu malam!

Abu Bakar : Benar beliau yang kata begitu?

Mereka : Ya.

Abu Bakar : Kalau memang beliau lah yang mengatakannya, sesungguhnya kata-katanya itu benar.

Mereka : Bagaimana mungkin engkau boleh membenarkan kata-katanya, sedangkan dia mendakwa telah berpergian ke Baitul Maqdis pada satu malam sahaja, dan kembali sebelum pun masuk waktu Subuh?!!

Abu Bakar : Ya. Bahkan kalau lebih jauh dari itu pun aku tetap akan membenarkan kata-katanya.

Oleh kerana itulah beliau digelar Abu Bakar as-Siddiq r.a

أخرجه الحاكم و صححه و أقره الذهبي

Diterjemah daripada kitab 150 Qissah min Hayati Abi Bakr as-Siddiq oleh as-Syeikh Ahmad Abdul 'Al at-Tohtowi.

Tuesday, November 3, 2009

Jazakumullahu Khairal Jazak Ya Ustazi


Assalamualaikum wrt

Tidak terkata gembira rasa hati di atas kesudian guru tafaqquh saya, Al-Fadhil Ustaz Mohd Al-Amin Daud dan ahli baitnya untuk bertandang ke rumah saya malam tadi. Alhamdulillah sempat juga kami duduk bersama beramah mesra sebelum beliau pulang ke tanah air dalam masa yang terdekat.

Semoga Allah sentiasa melimpahi rahmatNya ke atas beliau dan memberikan kekuatan kepada beliau untuk terus thabat dan teguh atas jalan kebenaran dan dakwah. Walaupun hanya sebentar pertemuan kami di bumi anbiyak ini, namun ia amat memberkas di jiwa.

Umur beliau yang tiga tahun lebih muda daripada saya bukanlah sebab untuk saya tidak menghormatinya sebagai guru. Masakan tidak, sedangkan Amirul Mukminin Sayyiduna Ali Karramallahu wajhah sendiri pernah berkata,

" أنا عبد لمن علمني حرفاً "

Aku adalah 'hamba' kepada sesiapa sahaja yang mengajarku (walaupun) satu huruf. [ tanda beliau amat menghormati gurunya]

Bahkan Amir as-Syu'ara Ahmad Syauqi juga pernah mengeluarkan bait penuh makna,

قم للمعلم وفه التبجيلا * كاد المعلم أن يكون رسولا

Berdirilah (untuk menghormati) guru, dan lupakanlah penghormatan (dirimu

(Kerana) hampir-hampirlah guru itu (dianggap) seperti seorang rasul..

Memang benar, kerana para ulama itu adalah waris anbiyak.

(Guru yang dimaksudkan adalah guru yang mengajar kita ilmu-ilmu yang membawa kita mengenal dan mencintai Allah s.wt, wallahu a'lam)

Semoga Allah mengekalkan ukhuwwah ini hingga ke syurga insyaAllah.

Sunday, November 1, 2009

Sebarkanlah Salam Kamu Akan Berkasih Sayang


Situasi 1

Ahmad sedang menuruni tangga di kampus. Sedang menuruni tangga, berselisih pula dengan Ali. Hanya mereka berdua, tiada pelajar lain. Namun masing-masing hanya berlalu dan tidak ambil endah satu sama lain dengan alasan masing-masing bukanlah kawan rapat.

Situasi 2

Rosli sedang dalam perjalanan ke pasar. Ketika melalui satu lorong yang tidak ramai orang, berselisih pula dengan Pakcik Karim. Umurnya lebih kurang ayah Rosli. Mereka berselisih dan tiada orang lain yang lalu berhampiran mereka. Rosli hanya meneruskan perjalanan, tanpa memberi salam atau menegur pakcik tersebut dengan alasan tidak mengenalinya.



Assalamualaikum wrt..

Saudara-saudara yang dikasihi,

Sesungguhnya memberi salam itu adalah sunnah yang dilakukan sejak zaman nabi Adam a.s lagi sehinggalah hari kiamat. Ia juga adalah ucapan hormat ahli-ahli syurga sesama mereka. Firman Allah bermaksud :


" ....Dan ucapan penghormatan mereka (ahli syurga) di dalamnya adalah 'salam'.... " Surah Yunus ayat 10


Memberi salam adalah sunnah para nabi dan kebiasaan orang-orang yang bertaqwa. Namun alangkah sedihnya pada hari ini, kita kaum muslimin sudah tidak lagi mengendahkan soal memberi salam. Lalu kita dapat lihat, ramai antara kita yang lalu bersebelahan antara satu sama lain dan memang pada masa itu tidak menjadi masalah untuk memberi dan menjawab salam, namun masing-masing berat untuk memulakannya. Bahkan mungkin barangkali tiada niat langsung untuk itu. Salam hanya diberi pada sesiapa yang dikenali. Terkadang kita berasa hairan dengan saudara kita yang tidak dikenali mengucapkan salam kepada kita. Lalu kita bertanya ”Awak ni kenal saya ke?”



Saudara-saudara yang dikasihi.


Apa yang kita lakukan pada hari ini sebenarnya bersalahan dengan perintah Rasulullah s.a.w. Oleh kerana itulah hati-hati kita sering berjauhan dan mudah berkasar antara satu sama lain. Nabi s.a.w bersabda

Kamu semua tidak akan masuk syurga sehinggalah kamu beriman, dan tidak pula sempurna imanmu sehinggalah kamu berkasih sayang antara satu sama lain. Mahukah daku tunjukkan pada kamu semua satu perkara yang apabila kamu melakukannya kamu akan berkasih sayang? Sebarkanlah salam antara kamu ” HR Muslim


Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w: "Apakah (amalan) Islam yang terbaik? Nabi s.a.w menjawab:

"Engkau memberi makan dan memberi salam kepada orang yang engkau kenali dan kepada orang yang engkau tidak kenali." (HR al-Bukhari dan Muslim)


Hadis di atas menjadi dalil betapa Rasulullah s.a.w amat menggalakkan umatnya untuk memberi salam antara satu sama lain. Bukan kepada yang dikenali sahaja, bahkan kepada semua umat Islam.


Ibnu Umar r.anhuma pernah pergi ke pasar. Dia berkata ”Aku ke pasar hanya untuk memberi salam kepada siapa sahaja yang aku jumpa”



Saudara-saudara seagamaku yang dikasihi.


Mengucapkan salam itu adalah tanda kerendahan hati dan kasih sayang seorang muslim kepada saudaranya. Mudah memberi salam melambangkan kebersihan hatinya daripada sifat hasad, dengki, benci-membenci, besar diri serta takabbur. Memberi dan menjawab salam itu sendiri adalah diantara hak sesama muslim. Ia adalah antara asbab untuk terhasilnya kebaikan dan masuk ke syurga Allah. Dengan menyebarkan salam, secara tidak langsung kita juga menghidupkan sunnah Nabi s.a.w.


Sabda Rasulullah s.a.w

”5 perkara yang diwajibkan ke atas seorang Muslim terhadap saudaranya. Menjawab salam, menjawab doa orang yang bersin, memenuhi undangan, menziarahi orang sakit dan mengiringi jenazahHR Muslim



Wajib hukumnya kita menjawab salam apabila diberi,


Dari Abi Sa'id Al-Khudriy r.anhu, Rasulullah s.a.w bersabda:


"Jauhilah duduk-duduk di pinggir jalan!"


Sahabat berkata, "Ya Rasulullah, kami tidak boleh meninggalkan majlis kami ini dan juga bercakap-cakap dalamnya."

Rasulullah menjawab,

"Kalau enggan meninggalkannya, maka beri hak jalan itu." Sahabat bertanya, "Apakah hak jalan itu ya Rasulullah?" kata Rasulullah, "Tundukkan pandangan, singkirkan gangguan di jalan, jawablah salam dan melakukan amar ma'ruf nahi mungkar." (Muttafaq 'alaih).



Imam Nawawi Rahimahullah berkata, " Ketahuilah bahawa memberi salam itu hukumnya sunat dan hukum menjawabnya adalah wajib. Sekiranya yang mahu memberi salam itu adalah satu kumpulan daripada orang Islam, maka hukum memberi salam adalah sunnah kifayah kepada mereka. Sekiranya salah seorang sahaja yang memberi salam, terhasil pahala sunat untuk semua yang lain. Sekiranya yang diberi salam pula hanya seorang, maka wajib keatasnya menjawab salam. Sekiranya ramai, maka memadalah jika salah seorang sahaja yang menjawab salam tersebut dan dengan itu terangkatlah kewajipan ke atas yang lain.”




Saudara-saudara yang dikasihi.


Marilah kita sebarkan salam. Sebarkan akhlak karimah umat Islam. Marilah kita semai kembali benih kasih sayang antara kita. Yakinlah dengan sabdaan junjungan kita Rasulullah s.a.w. Dengan kasih sayang yang wujud, kita akan mudah bersatu. Dan dengan bersatu, kita akan digeruni oleh musuh-musuh agama kita. Mudah-mudahan Allah menggolongkan kita dalam salah satu daripada tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di hari yang tiada naungan melainkan naunganNya. Amin Amin Amin.

Wassalamualaikum wrt.