Saturday, October 24, 2009

Alangkah Kerdilnya Kita






















Assalamualaikum wrt.

Saudara-saudara yang dikasihi,

Lihatlah gambar-gambar di atas satu persatu. Kemudian sama-samalah kita renungkan. Kita ini tidak lain hanyalah makhluk Allah yang sangat kerdil. Sangat sangat kerdil. Tiada sebab untuk kita berasa angkuh, sombong, bongkak, meninggi diri dan apa sahaja sifat mazmumah yang seumpanya.


Bumi yang amat besar pada pandangan mata kasar kita, hakikatnya teramat kecil. Bandingkan pula nisbah besar jasad kita berbanding bumi.

Kita sering lihat semut yang kecil, namun begitu gagah membawa makanan yang berkali ganda lebih besar daripadanya. Tidak sedikitpun timbul rasa takut kepada sang semut yang gagah tadi. Kenapa? Kerana kita mempunyai jasad yang beribu kali ganda lebih besar berbanding semut. Tapi bila sang semut menggigit kita, habis sampai penyek semut tadi kita kerjakan. Begitu gah sekali. Seolah-olah kita mahu buktikan pada semut, bahawa kita jauh lebih kuat daripadanya.


Saudara-saudara yang dikasihi,

Cuba kita andaikan, ada sebuah kawasan lapang seluas Malaysia, dan kita pula berdiri seorang diri di mana-mana tempat daripadanya. Bandingkan nisbah kita kepada kawasan lapang itu. Ah, begitu kecil sekali. Jauh lebih kecil berbanding sebiji guli yang berada di atas sebuah padang bola.


Baru dibandingkan dengan kawasan lapang seluas Malaysia, ternyata kita memang teramat kecil. Belum lagi dibandingkan dengan Asia Tenggara, kemudian dengan benua Asia, dan seterusnya.


Paparan gambar di atas hanya sekadar perbandingan bumi dan beberapa bintang yang terdekat dengan bumi. Masih ada berjuta lagi bintang di langit sana yang tidak kita tahu bagaimana besarnya.


Saya bukanlah ahli astronomi yang mahir mengenai perbahasan tentang cakerawala. Saya adalah seorang hamba kepada Sang Pencipta seperti kalian semua, yang diseru oleh-Nya untuk sama-sama memikir dan merenung hakikat penciptaan.


Terjemahan firman Allah,

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, serta pertukaran malam dan siang, benar-benar mempunyai tanda-tanda (kebesaran Allah) kepada orang-orang yang bijaksana" surah Ali Imran ayat 190.

Rasulullah s.a.w menangis tatkala ayat ini diturunkan kepada Baginda. Kemudian Baginda bersabda " Kecelakaanlah kepada siapa yang membacanya (ayat ini hingga akhir surah) namun tidak pula memikirkannya".


Saudara-saudaraku yang dikasihi,


Nah, Allah sendiri minta kita berfikir mengenai penciptaan alam ini. Tapi akal dan fikiran yang dikurniakan kepada kita, yang membezakan kita dengan makhluk lain ini, sering kita salah gunakan kepada perkara-perkara yang mengundang kemurkaan Allah.


Allah Maha Penyayang. Tidak terhitung banyaknya kita menyalahgunakan nikmat akal fikiran yang Allah berikan, namun Allah masih sabar. Allah Maha Penyabar. Bukan seperti halnya kita dengan sang semut tadi. Baru sekali kena gigit, terus 'murka' dan memberi balasan berbentuk 'tunai'.

Marilah kita sama-sama renung dan fikirkan.

Mudah-mudahan video di bawah juga dapat membantu kita menghayati betapa hebat dan agungnya Sang Pencipta, dan seterusnya mendatangkan rasa insaf dalam diri kita. Amin.


video

Saturday, October 17, 2009

Kutub Sittah Oh Kutub Sittah

Alhamdulillah wassolatu wassalamu 'ala Rasulillah. Amma ba'du:



Hari ini 29 Syawal 1430. 18 Oktober 2009 ikut kiraan Masihi. Baki Syawal terasa agak berat untuk ditekuni.

Pukul 6.30. Suasana pagi di rumah saya berdekatan Masjid Al-Huda, masjid berwarna hijau di kawasan Dirasat memang hening. Agak jauh dari jalan utama. Sesekali masih kedengaran kokokan ayam dari reban yang berada di sutuh (atap) rumah 4 tingkat ini walaupun rumah saya ditingkat paling bawah.

Dua bulan lalu ketika mula-mula melihat iklan mengenai Majlis Pembacaan Kutub Sittah di Malaysia , bukan kepalang girangnya rasa hati. Saya mula mengira-ngira bilangan hari untuk ke Mesir dan berharap agar mendapat tarikh yang lebih awal untuk ke sana. Pada mulanya saya bercadang untuk berangkat hujung Oktober.

Terima kasih kepada Ustaz Ariff Jasiman, guru di Maahad Johor yang bertanggungjawab mengurus penerbangan pelajar-pelajar Johor. Mujur masih ada lagi kekosongan. Alhamdulillah tarikh penerbangan adalah 4 Oktober, menaiki pesawat Gulf Air dan saya menganggap tarikh tersebut adalah sangat munasabah untuk saya membuat urusan pendaftaran sebaik sahaja tiba di Bumi Anbiya ini.

Tidak jemu saya melihat video klip promosi majlis ini di Youtube. Begitu juga entri di banyak blog yang menulis mengenainya. Blog Ustaz Nazrul Nasir, PMRAM, DPM Mansurah adalah beberapa pautan yang sering saya lawati. Semakin saya meneliti, semakin tinggi keinginan saya untuk menyertai.

Namun itu semua sebulan lalu. Keheningan pagi ini masih tidak mampu untuk meredakan kesedihan yang dirasai. Penyertaan telah penuh dan masih ramai rupanya yang terlepas untuk menyertai. Saya segan untuk terus meminta-minta supaya diluluskan penyertaan kerana bimbang akan jadi masyaqqah pula kepada ustaz yang mengurusnya. Apatah lagi saya masih baru disini.

Apa pun, di sebalik kesedihan yang membungkam, timbul juga rasa syukur pada Allah melihat semangat dan kesungguhan para pelajar di sini untuk mendengar dan menghayati hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang paling sohih. Saya membayangkan nikmat yang telah mereka rasai semalam dan insyaAllah hari ini (29 Syawal) untuk mendengar bacaan dari para ulama yang rabbani. Alangkah nikmatnya mendengar sabdaan Rasulillah s.a.w, dibacakan pula oleh para ulama yang cintakan Allah dan RasulNya. Kalaulah Baginda s.a.w masih ada................... اللهم صل و سلم على سيدنا محمد

Saya dapat melihat kesedihan pada raut wajah beberapa teman yang tidak berpeluang menyertainya. " Tak apalah ustaz. Kita sama-sama doa mudah-mudahan tahun depan kita terpilih pula insyaAllah" sekadar kata-kata semangat yang dapat saya kongsikan bersama mereka walaupun hakikatnya saya turut memerlukannya.



"Majlis pembacaan hadis Rasulullah s.a.w daripada kitab Sahih Bukhari dimulakan pada jam 1.15 petang secara bergilir-gilir oleh al-Allamah Syeikh Dr. Jamal Farouq, al-Allamnah Syeikh Dr. Yusri Rushdi Sayyid al Hasani dan al-Allamah Syeikh Dr. Usamah al-Azhari. Sekitar jam 2.45 petang, majlis berhenti rehat seketika dan sesi pembacaan Sahih Bukhari kembali diteruskan pada jam 3.45 petang oleh al-Allamah Syeikh Dr. Jamal Farouq sehingga waktu maghrib. Pada hari pertama program, dianggarkan lenih daripada 630 peserta yang hadir bagi menjayakan majlis pembacaan hadis tersebut."

Perenggan yang saya petik daripada laman PMRAM. Saya cuba membayangkan wajah-wajah kegembiraan teman-teman yang turut serta. Semoga antum hadir dengan jiwa yang murni dan penuh rasa cinta kepada Rasulullah, dan kembali ke Mansurah dengan cahaya yang menerangi kehidupan kami di sini.

Demi Dia yang jiwa dan ragaku di dalam kekuasaanNya, hati ini benar-benar ghibtah dan cemburu kepada antum.

Tuesday, October 13, 2009

Seminggu Yang Masih Muda

Assalamualaikum wrt
Alhamdulillah wassolatu wassalamu ala Rasulillah s.a.w. wa 'ala aalihi wa ashabihi wa man waalaah. amma ba'du:

Sudah seminggu dua hari di bumi Mesir. Tempoh yang masih muda untuk saya benar-benar mematangkan diri dengan kehidupan di sini.

Lahjah ammiah perlu dikuasai secepat mungkin supaya mudah bermuamalah dengan masyarakat di sini. Lahjah fushah tak berapa 'laku' untuk pertuturan biasa. Semoga buku2 lahjah ammiah yang dipinjamkan Ustaz Al-Amin Daud dapat membantu, insyaAllah.

Hari pertama sampai, saya minta zaujah yang berpengalaman setahun di sini membawa saya ke kedai kitab. Maktabah al-Fayyad, bertempat di Madinah Salam memang tumpuan utama pelajar-pelajar Malaysia di sini untuk membeli kitab.

Mata menjadi rambang kali pertama menyusuri jalan ke al-Fayyad. Kiri kanan dibanjiri kedai kitab. Dengan LE50, alhamdulillah saya dapat membeli kitab Syarah Ibn 'Aqil (oleh al-Allamah Abdullah Bahauddin ibnu Abdillah ibni Abdirrahman ibni Abdillah ibni Aqil rahimahullah) dan Syarah Al-Ajrumiyah fi 'Ilmil Arabiyyah (oleh al-Allamah Ali ibnu Abdillah ibni Ali Nuriddin as-Sanhuri rahimahullah). Kedua-duanya kitab nahu. Cari juga kitab Qatrunnada dan al-Kawakib ad-Durriyyah, namun mungkin tiada atau saya terlepas pandang.

Sebenarnya kitab-kitab nahu tadi terpaksa saya tinggalkan di Malaysia. Terlebih berat. Mujur kedua-dua kamus Al-Munawwir (Arab-Indon, Indon - Arab) dapat juga saya selitkan.

Kitab hadis terutamanya syarah-syarah kepada sunan sittah, dengan harga yang amat murah dibandingkan harga di tanah air, benar-benar membuatkan saya teruja. Mudah-mudahan Allah kurniakan rezeki kepada saya untuk memilikinya, dan dengannya cinta dan rindu kepada Rasulullah s.a.w semakin membugar. Amin.


Saya sampai 4 Oktober dan 5 Oktober kelas tafaqquh bermula. Bertempat di DPJA Utubis Jadid. Alhamdulillah Allah temukan juga dengan Ustaz Al Amin Daud, ulama muda dan pejuang tauhid. Mengaji kitab al-Aqa-id ad-Durriyyah dengan beliau, membuat saya terkenang masa-masa indah mengaji tauhid dengan al-Fadhil Ustaz Maulana Mansor di Madrasah Miftahul Ulum, Sri Petaling. Allahumma barik hayatahum waj'alni wa iyyahum minal khodimin lidinik. Amin.

Alhamdulillah semalam saya sudah mula bertalaqqi dengan Syeikh Hussin (1). Semua pelajar diniah Malaysia di sekitar Mansurah insyaAllah mengenali beliau. Seorang yang zuhud, tawadhok dan warak. Tidak mengambil upah. Sedapat mungkin insyaAllah saya akan berusaha untuk menjadi hafiz di tangan beliau.

Seperkara yang benar-benar membuat saya gembira, adalah melihat kematangan dan kasih-sayang ikhwah kita di sini dalam berukhuwwah. Perbezaan negeri tidak menjadi masalah pada mereka. Saya sendiri berterima kasih atas segala bantuan dan kerjasama oleh sahabat-sahabat di sini seperti Ustaz Nasir, Ustaz Tuan Azman, Ustaz Fathi, dan lain-lain. Kebanyakan mereka bukan dari Johor, bahkan kali pertama kami mengenali satu sama lain. Namun nusrah dan bantuan ikhlas dari mereka dalam banyak perkara amat-amat saya hargai. Semoga Allah melimpahi kasih-sayangnya kepada kita. Amin.

Seminggu di Mesir, masih amat muda dan semoga hari-hari mendatang akan mematangkan kehidupan di sini.

(1) Talaqqi Al-Quran sahaja