Tuesday, October 13, 2009

Seminggu Yang Masih Muda

Assalamualaikum wrt
Alhamdulillah wassolatu wassalamu ala Rasulillah s.a.w. wa 'ala aalihi wa ashabihi wa man waalaah. amma ba'du:

Sudah seminggu dua hari di bumi Mesir. Tempoh yang masih muda untuk saya benar-benar mematangkan diri dengan kehidupan di sini.

Lahjah ammiah perlu dikuasai secepat mungkin supaya mudah bermuamalah dengan masyarakat di sini. Lahjah fushah tak berapa 'laku' untuk pertuturan biasa. Semoga buku2 lahjah ammiah yang dipinjamkan Ustaz Al-Amin Daud dapat membantu, insyaAllah.

Hari pertama sampai, saya minta zaujah yang berpengalaman setahun di sini membawa saya ke kedai kitab. Maktabah al-Fayyad, bertempat di Madinah Salam memang tumpuan utama pelajar-pelajar Malaysia di sini untuk membeli kitab.

Mata menjadi rambang kali pertama menyusuri jalan ke al-Fayyad. Kiri kanan dibanjiri kedai kitab. Dengan LE50, alhamdulillah saya dapat membeli kitab Syarah Ibn 'Aqil (oleh al-Allamah Abdullah Bahauddin ibnu Abdillah ibni Abdirrahman ibni Abdillah ibni Aqil rahimahullah) dan Syarah Al-Ajrumiyah fi 'Ilmil Arabiyyah (oleh al-Allamah Ali ibnu Abdillah ibni Ali Nuriddin as-Sanhuri rahimahullah). Kedua-duanya kitab nahu. Cari juga kitab Qatrunnada dan al-Kawakib ad-Durriyyah, namun mungkin tiada atau saya terlepas pandang.

Sebenarnya kitab-kitab nahu tadi terpaksa saya tinggalkan di Malaysia. Terlebih berat. Mujur kedua-dua kamus Al-Munawwir (Arab-Indon, Indon - Arab) dapat juga saya selitkan.

Kitab hadis terutamanya syarah-syarah kepada sunan sittah, dengan harga yang amat murah dibandingkan harga di tanah air, benar-benar membuatkan saya teruja. Mudah-mudahan Allah kurniakan rezeki kepada saya untuk memilikinya, dan dengannya cinta dan rindu kepada Rasulullah s.a.w semakin membugar. Amin.


Saya sampai 4 Oktober dan 5 Oktober kelas tafaqquh bermula. Bertempat di DPJA Utubis Jadid. Alhamdulillah Allah temukan juga dengan Ustaz Al Amin Daud, ulama muda dan pejuang tauhid. Mengaji kitab al-Aqa-id ad-Durriyyah dengan beliau, membuat saya terkenang masa-masa indah mengaji tauhid dengan al-Fadhil Ustaz Maulana Mansor di Madrasah Miftahul Ulum, Sri Petaling. Allahumma barik hayatahum waj'alni wa iyyahum minal khodimin lidinik. Amin.

Alhamdulillah semalam saya sudah mula bertalaqqi dengan Syeikh Hussin (1). Semua pelajar diniah Malaysia di sekitar Mansurah insyaAllah mengenali beliau. Seorang yang zuhud, tawadhok dan warak. Tidak mengambil upah. Sedapat mungkin insyaAllah saya akan berusaha untuk menjadi hafiz di tangan beliau.

Seperkara yang benar-benar membuat saya gembira, adalah melihat kematangan dan kasih-sayang ikhwah kita di sini dalam berukhuwwah. Perbezaan negeri tidak menjadi masalah pada mereka. Saya sendiri berterima kasih atas segala bantuan dan kerjasama oleh sahabat-sahabat di sini seperti Ustaz Nasir, Ustaz Tuan Azman, Ustaz Fathi, dan lain-lain. Kebanyakan mereka bukan dari Johor, bahkan kali pertama kami mengenali satu sama lain. Namun nusrah dan bantuan ikhlas dari mereka dalam banyak perkara amat-amat saya hargai. Semoga Allah melimpahi kasih-sayangnya kepada kita. Amin.

Seminggu di Mesir, masih amat muda dan semoga hari-hari mendatang akan mematangkan kehidupan di sini.

(1) Talaqqi Al-Quran sahaja

No comments:

Post a Comment