Saturday, October 17, 2009

Kutub Sittah Oh Kutub Sittah

Alhamdulillah wassolatu wassalamu 'ala Rasulillah. Amma ba'du:



Hari ini 29 Syawal 1430. 18 Oktober 2009 ikut kiraan Masihi. Baki Syawal terasa agak berat untuk ditekuni.

Pukul 6.30. Suasana pagi di rumah saya berdekatan Masjid Al-Huda, masjid berwarna hijau di kawasan Dirasat memang hening. Agak jauh dari jalan utama. Sesekali masih kedengaran kokokan ayam dari reban yang berada di sutuh (atap) rumah 4 tingkat ini walaupun rumah saya ditingkat paling bawah.

Dua bulan lalu ketika mula-mula melihat iklan mengenai Majlis Pembacaan Kutub Sittah di Malaysia , bukan kepalang girangnya rasa hati. Saya mula mengira-ngira bilangan hari untuk ke Mesir dan berharap agar mendapat tarikh yang lebih awal untuk ke sana. Pada mulanya saya bercadang untuk berangkat hujung Oktober.

Terima kasih kepada Ustaz Ariff Jasiman, guru di Maahad Johor yang bertanggungjawab mengurus penerbangan pelajar-pelajar Johor. Mujur masih ada lagi kekosongan. Alhamdulillah tarikh penerbangan adalah 4 Oktober, menaiki pesawat Gulf Air dan saya menganggap tarikh tersebut adalah sangat munasabah untuk saya membuat urusan pendaftaran sebaik sahaja tiba di Bumi Anbiya ini.

Tidak jemu saya melihat video klip promosi majlis ini di Youtube. Begitu juga entri di banyak blog yang menulis mengenainya. Blog Ustaz Nazrul Nasir, PMRAM, DPM Mansurah adalah beberapa pautan yang sering saya lawati. Semakin saya meneliti, semakin tinggi keinginan saya untuk menyertai.

Namun itu semua sebulan lalu. Keheningan pagi ini masih tidak mampu untuk meredakan kesedihan yang dirasai. Penyertaan telah penuh dan masih ramai rupanya yang terlepas untuk menyertai. Saya segan untuk terus meminta-minta supaya diluluskan penyertaan kerana bimbang akan jadi masyaqqah pula kepada ustaz yang mengurusnya. Apatah lagi saya masih baru disini.

Apa pun, di sebalik kesedihan yang membungkam, timbul juga rasa syukur pada Allah melihat semangat dan kesungguhan para pelajar di sini untuk mendengar dan menghayati hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang paling sohih. Saya membayangkan nikmat yang telah mereka rasai semalam dan insyaAllah hari ini (29 Syawal) untuk mendengar bacaan dari para ulama yang rabbani. Alangkah nikmatnya mendengar sabdaan Rasulillah s.a.w, dibacakan pula oleh para ulama yang cintakan Allah dan RasulNya. Kalaulah Baginda s.a.w masih ada................... اللهم صل و سلم على سيدنا محمد

Saya dapat melihat kesedihan pada raut wajah beberapa teman yang tidak berpeluang menyertainya. " Tak apalah ustaz. Kita sama-sama doa mudah-mudahan tahun depan kita terpilih pula insyaAllah" sekadar kata-kata semangat yang dapat saya kongsikan bersama mereka walaupun hakikatnya saya turut memerlukannya.



"Majlis pembacaan hadis Rasulullah s.a.w daripada kitab Sahih Bukhari dimulakan pada jam 1.15 petang secara bergilir-gilir oleh al-Allamah Syeikh Dr. Jamal Farouq, al-Allamnah Syeikh Dr. Yusri Rushdi Sayyid al Hasani dan al-Allamah Syeikh Dr. Usamah al-Azhari. Sekitar jam 2.45 petang, majlis berhenti rehat seketika dan sesi pembacaan Sahih Bukhari kembali diteruskan pada jam 3.45 petang oleh al-Allamah Syeikh Dr. Jamal Farouq sehingga waktu maghrib. Pada hari pertama program, dianggarkan lenih daripada 630 peserta yang hadir bagi menjayakan majlis pembacaan hadis tersebut."

Perenggan yang saya petik daripada laman PMRAM. Saya cuba membayangkan wajah-wajah kegembiraan teman-teman yang turut serta. Semoga antum hadir dengan jiwa yang murni dan penuh rasa cinta kepada Rasulullah, dan kembali ke Mansurah dengan cahaya yang menerangi kehidupan kami di sini.

Demi Dia yang jiwa dan ragaku di dalam kekuasaanNya, hati ini benar-benar ghibtah dan cemburu kepada antum.

1 comment: