Showing posts with label Kisah Saidina Abu Bakar r.anhu (KSAB). Show all posts
Showing posts with label Kisah Saidina Abu Bakar r.anhu (KSAB). Show all posts

Tuesday, November 10, 2009

KSAB 7 : Islamnya Abu Bakar dan Sahabat-sahabat Yang Masuk Islam Di Tangannya


Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a keluar untuk bertemu Rasulullah s.a.w. Beliau adalah seorang yang membenarkan segala kata-kata Rasulullah s.a.w sejak era jahiliyah lagi.

Setelah berjumpa dengan Rasulullah s.a.w, beliau berkata “Wahai Aba al-Qasim, tuan tidak menyertai majlis kaummu dan mereka menuduh tuan mengaibkan nenek moyang mereka”.

Maka jawab Rasulullah s.a.w “Sesungguhnya saya adalah Rasulullah. Saya menyerumu kepada Allah." Sebaik sahaja Baginda s.a.w habis berbicara, Saidina Abu Bakar r.a pun masuk Islam. Rasulullah s.a.w berasa amat gembira dengan keislaman beliau.

Saidina Abu Bakar r.a pun pergi berjumpa dengan Uthman bin Affan, Talhah bin Ubaidillah, Zubair bin al-Awwam dan Saad bin Abi Waqqas. Beliau mendakwah mereka kepada Islam, dan mereka pun masuk Islam. Radiyallahu anhum ajmain.

Esoknya beliau pergi bertemu dengan Uthman bin Maz3un, Abu Ubaidah bin al-Jarrah, Abdurrahman bin Auf , Abu Salamah bin Abdil Asad, dan al-Arqam bin Abi al-Arqam. Mereka juga akhirnya memeluk Islam. Radiyallahu anhum ajmain. (1)

(1) al-Bidayah wa an-Nihayah oleh Imam Ibnu Kathir

Diterjemah daripada kitab 150 Qissah min Hayati Abi Bakr as-Siddiq oleh as-Syeikh Ahmad Abdul 'Al at-Tohtowi

Sunday, November 8, 2009

KSAB 6- Bercerita Di Halaman Kaabah

Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a bercerita mengenai dirinya pada suatu hari.

Dia berkata " Saya pernah duduk- duduk di halaman Kaabah. Pada masa itu Zaid bin Amr bin Nufail juga duduk sama. Tiba-tiba Ibnu Abi as-Solt lalu berhampiran dan berkata kepada Zaid, "Selamat pagi wahai 'Baghi al-khoir' (pencari kebaikan)".

Zaid : Khoir (Baik).

Ibnu Abi as-Solt : Adakah kamu sudah menjumpai kebaikan itu?

Zaid : Belum

Maka Ibnu Abi as-Solt berkata (dalam syair),

كل دين يوم القيامة إلا * ما مضى في الحنيفية بور

Semua agama tidak berjaya pada hari kiamat
Melainkan apa yang telah lalu iaitu al-Hanifiyyah (agama Nabi Ibrahim)

Kemudian beliau bertanya pada Saidina Abu Bakar r.a "Nabi yang ditunggu-tunggu ni daripada kaum kami atau kaum tuan?"

Ibnu Abi as-Solt mencelah, " Saya belum pernah dengar pula sebelum ni mengenai adanya nabi yang dinantikan dan diutus ".

S Abu Bakar menyambung ceritanya "Saya pun pergi menemui Waraqah bin Naufal. Saya menceritakan kepadanya mengenai hal ini"

Waraqah bin Naufal : Benar wahai anak saudaraku. Sesungguhnya aku adalah ahli kitab. Ketahulah bahawasanya nabi yang ditunggu ini adalah daripada nasab yang paling mulia, sedang kaum yang mempunyai nasab yang paling mulia itu adalah kaummu sendiri.

S Abu Bakar : Wahai pakcik, apakah yang dikatakan oleh nabi itu?

Waraaqah bin Naufal : Dia mengatakan seperti apa yang diberitakan mengenainya. Dia tidak zalim, tidak suka menzalimi, dan tidak suka membalas kezaliman.

"Maka apabila tiba pengutusan Nabi s.a.w, saya pun beriman dan membenarkan baginda", Saidina Abu Bakar menamatkan ceritanya. (1)

(1) Tarikh al-Khulafak oleh Imam Sayuti

Diterjemah daripada kitab 150 Qissah min Hayati Abi Bakr as-Siddiq oleh as-Syeikh Ahmad Abdul 'Al at-Tohtowi

Saturday, November 7, 2009

KSAB 5 : Talhah Mengajak Saidina Abu Bakar Menyembah Berhala


Setelah islamnya Saidina Abu Bakar r.a, orang-orang musyrikin Mekah merasa susah hati. Mereka bermesyuarat untuk mengutus seseorang kepada Saidina Abu Bakar dan mengajaknya kembali menyembah tuhan-tuhan mereka. Mereka memilih Talhah bin Ubaidillah.

Talhah pun mendatangi Saidina Abu Bakar dan pada ketika itu beliau berada bersama kaumnya.

Talhah berteriak : Wahai Abu Bakar, bangunlah untukku!

S Abu Bakar : Kenapa kau memanggilku?

Talhah : Aku memanggilmu supaya kau kembali menyembah Latta dan Uzza.

S Abu Bakar : Siapa Latta?

Talhah : Anak perempuan Allah.

S Abu Bakar : Kalau macam tu, siapa pula ibunya?

Talhah pun terdiam dan kedua bibirnya tidak mampu untuk berbicara. Lalu Saidina Abu Bakar r.a menghadap teman-teman Talhah seraya berkata "Tolong kawanmu jawab soalan saya" . Semua mereka hanya terdiam dan tidak mampu menjawab.

Setelah lama memandang teman-temannya, namun tiada seorang pun yang bersuara, maka Talhah berteriak lagi. "Bangunlah wahai Abu Bakar. Sesungguhnya aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah".

Saidina Abu Bakar pun memegangnya, dan memimpinnya bertemu Rasulullah s.a.w. (1)

(1) 3uyun al Akhbar

Diterjemah daripada kitab 150 Qissah min Hayati Abi Bakr as-Siddiq oleh as-Syeikh Ahmad Abdul 'Al at-Tohtowi

KSAB 4 : Khabar Yang 'Ajib


Hadrat Abu Bakar r.a telah bermimpi dan pada masa itu beliau berada di Syam. Lalu beliau menceritakan mimpinya kepada seorang rahib bernama Bahira.

Rahib : Tuan dari mana?

S Abu Bakar : Mekah

Rahib : Dari suku mana?

S Abu Bakar : Quraisy

Rahib : Apa pekerjaanmu?

S Abu Bakar : Peniaga

Rahib : Andainya Allah membenarkan mimpimu itu, sesungguhnya kelak akan diutus seorang nabi daripada kaummu. Kamu akan menjadi pembantunya semasa hayatnya dan menjadi khalifah penggantinya) selepas kewafatannya.

Maka Hadrat Abu Bakar pun merahsiakan apa yang dikhabarkan oleh rahib itu. (1)

(1) al-Khulafak ar-Rosyidun oleh Mahmud Syakir


Diterjemah daripada kitab 150 Qissah min Hayati Abi Bakr as-Siddiq oleh as-Syeikh Ahmad Abdul 'Al at-Tohtowi

KSAB 3 : Aku Tidak Pernah Sujud Kepada Berhala Walaupun Sekali


Dalam satu perhimpunan bersama para sahabat r.anhum, Hadrat Abu Bakar berkata :

“Aku tidak pernah sujud kepada mana-mana berhala pun. Demikian itu adalah kerana semasa aku menghampiri usia baligh, ayahku Abu Quhafah (kuniah @ gelaran untuk ayahnya) memegang tanganku dan membawaku ke satu bilik yang di dalamnya terdapat berhala-berhala. Lalu dia berkata padaku 'Inilah tuhan-tuhanmu, as-Syam al-’Awali, Kholani dan Zahab'.Aku pun mendekati berhala tersebut.

Kataku padanya 'Aku lapar, berilah aku makan', namun ia tidak menjawabnya.

Kukatakan lagi, 'Aku tidak berpakaian, berilah pakaian', namun tidak juga dijawab. Lalu aku melempar seketul batu besar dan mengenai mukanya (berhala)." (1)


(1) al-Khulafak ar-Rosyidun oleh Mahmud Syakir


Diterjemah daripada kitab 150 Qissah min Hayati Abi Bakr as-Siddiq oleh as-Syeikh Ahmad Abdul 'Al at-Tohtowi

Friday, November 6, 2009

KSAB 2 - Tidak Pernah Meneguknya Hatta Di Zaman Jahiliyyah


Adalah Saidina Abu Bakar r.a seorang yang sangat menjauhi perkara-perkara yang keji dan tidak baik semasa Zaman Jahiliyyah. Bahkan beliau mengharamkan arak ke atas dirinya sebelum masuk Islam lagi.

Berkata Saidatina Aisyah r.anha,

" Hadrat Abu Bakar r.a telah mengharamkan arak ke atas dirinya sendiri. Beliau tidak pernah meneguknya baik ketika jahiiyah apatah lagi selepas Islam. Sebabnya, pernah sekali beliau berjalan berhampiran seorang lelaki yang mabuk. Lelaki itu meletakkan tangannya pada najis, kemudian mendekatkan najis tersebut hampir ke mulutnya. Apabila dia tercium bau najis tersebut, dia pun membuangnya.

Hadrat Abu Bakar berkata ' Sesungguhnya lelaki ini tidak mengetahui apa yang dia lakukan, sedangkan dia boleh menghidu baunya'. Dari peristiwa itu beliau terus mengharamkan arak ke atas dirinya. " (1)

Seorang lelaki telah bertanya kepada beliau, "Adakah tuan meminum arak semasa jahiliyah?"

Jawab Hadrat Abu Bakar r.a : Aku minta perlindungan daripada Allah.

Lelaki : Kenapa?

Hadrat Abu Bakar : Aku amat menjaga kehormatan dan maruahku. Sesungguhnya orang yang meminum arak, dia adalah seorang yang mempersiakan harga diri dan maruahnya.(2)


(1) Sirah wa Hayah as-Siddiq - Majdi Fathi
(2) Tarikh al-Khulafak oleh Imam as-Sayuti


Diterjemah daripada kitab 150 Qissah min Hayati Abi Bakr as-Siddiq oleh as-Syeikh Ahmad Abdul 'Al at-Tohtowi

KSAB 1 - Kenapa Beliau Digelar As-Siddiq


Saidina Abu Bakar r.a digelar as-Siddiq kerana sentiasa membenarkan Rasulullah s.a.w. Mengenai hal ini, Ummul Mukminin Aisyah r.anha ada meriwayatkannya. Kata beliau,

'Ketika peristiwa Rasulullah s.a.w di'israk'kan (israk=perjalanan di waktu malam) ke Masjidil Aqsa, orang ramai mula bercerita mengenainya. Ramai orang (yang lemah iman) yang sebelumnya beriman dan membenarkan Rasulullah s.a.w kembali murtad. Beberapa orang lelaki bersegera menemui Abu Bakar r.a (dengan harapan supaya beliau turut murtad).

Mereka berkata : Apa pandangan engkau mengenai sahabatmu (Rasulullah s.a.w).Dia mendakwa telah berpergian ke Baitul Maqdis hanya untuk satu malam!

Abu Bakar : Benar beliau yang kata begitu?

Mereka : Ya.

Abu Bakar : Kalau memang beliau lah yang mengatakannya, sesungguhnya kata-katanya itu benar.

Mereka : Bagaimana mungkin engkau boleh membenarkan kata-katanya, sedangkan dia mendakwa telah berpergian ke Baitul Maqdis pada satu malam sahaja, dan kembali sebelum pun masuk waktu Subuh?!!

Abu Bakar : Ya. Bahkan kalau lebih jauh dari itu pun aku tetap akan membenarkan kata-katanya.

Oleh kerana itulah beliau digelar Abu Bakar as-Siddiq r.a

أخرجه الحاكم و صححه و أقره الذهبي

Diterjemah daripada kitab 150 Qissah min Hayati Abi Bakr as-Siddiq oleh as-Syeikh Ahmad Abdul 'Al at-Tohtowi.