Saturday, December 26, 2009

Pemberitahuan : Penukaran Alamat Blog

Assalamualaikum wrt

Dengan ini dimaklumkan bahawa Blog Akhi Ahmad Kamil yang beralamat http://akhi-tolibul-ilmi.blogspot.com ditukar ke alamat baru iaitu http://akhi-ahmad-kamil.blogspot.com.

Penukaran ini terpaksa dilakukan atas beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan yang berlaku pada kod-kod HTML.

Dengan pemberitahuan ini, bermakna ini adalah entri terakhir saya di alamat ini. Syukran. Wassalam.

Thursday, December 24, 2009

Ikhlas

بسم الله الرحمن الرحيم

Tujuan utama kita belajar dan mengajar al-Quran adalah untuk mendapat redha Allah swt. Firman Allah,

و ما أمروا إلا ليعبدوا الله مخلصين له الدين حنفاء و يقيموا الصلاة و يؤتوا الزكوة و ذلك الدين القيمة

" Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan/memurnikan ketaatan kepada-Nya secara hanif (lurus), dan dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan itulah agama yang teguh
" Surah al-Bayyinah ayat 5

Dalam sebuah hadis yang masyhur sebagai salah satu daripada usul Islam, Rasulullah saw bersabda,

" Hanyasanya setiap amalan itu adalah dengan niat. Dan hanyasanya bagi setiap orang itu apa yang dia niatkan " Muttafaqun Alaih

Berkata Imam Abu al-Qasim al-Qusyairi rahimahullah (1) ,

"Ikhlas itu adalah memurnikan ketaatan dengan niat yang betul. Melalui ketaatannya, dia ingin sekali menjadi hampir kepada Allah dan tiada tujuan yang lain. Bukan kerana menunjuk-nunjuk kebaikannya kepada orang lain atau mendapat kedudukan yang terpuji disisi mereka. Bukan juga supaya dipuji atau apa jua yang semakna dengannya. Tujuannya hanya satu, menghampirkan diri kepada Allah."

Berkata Hadrat Huzaifah alMar'asyi rahimahullah (2),

" Ikhlas itu adalah sama sahaja perbuatan seorang hamba Allah itu baik ketika terang-terangan atau tersembunyi ".

Berkata Hadrat Zunnun al-Misri rahimahullah(3),

" Tiga perkara yang merupakan sebahagian daripada tanda keikhlasan:
i) Sama saja pujian atau celaan baginya
ii) Tidak mengingati amalan-amalan baiknya
iii) Mengharapkan balasan untuk amal baiknya di akhirat (bukan di dunia)

Berkata Hadrat Fudhail bin 'Iyadh rahimahullah,

" Meninggalkan amal kerana kerana manusia itulah sebenarnya riak. Dan beramal kerana manusia pula adalah syirik. Ikhlas tu adalah Allah memeliharamu daripada keduanya."

Berkata Hadrat Sahl at-Tustari rahimahullah (4),

" Orang-orang yang bijaksana telah merenung kepada erti keikhlasan. Maka mereka tidak mendapatinya melainkan ini. Iaitu setiap pergerakan atau diamnya (amalan) mereka baik secara sembunyi-sembunyi atau terang-terangan semuanya hanya kerana Allah, tiada yang lain. Bukan kerana hawa nafsu dan bukan juga kerana dunia. "


(1) Wafat 465 H
(2)Beliau adalah Huzaifah bin Qatadah, anak murid kepada Hadrat Sufyan ath-Thauri rahimahullah.
(3)Beliau adalah Zunnun al-Ikhmimi al-Misri. Wafat 245 H
(4) Beliau adalah Sahl bin Abdullah bin Yunus at-Tustari. Beliau bertemu dengan Hadrat Zunnun di Makkah. Wafat pada 283 H.

Rujukan,

Kitab at-Tibyan fi Adabi Hamalatil Quran oleh Imam an-Nawawi rahimahullah

Perkongsian : Cara Mengi'rab Jumlah


Assalamualaikum wrt

Rasulullah s.a.w bersabda,

إنما الأعمال بالنيات

Pada entri kali ini, saya yang dhaif lagi hina cuba untuk menerangkan kepada antum cara membaca jumlah atau kalam dalam bahasa Arab mengikut kaedah yang betul. Bukan betul mengikut takrifan saya, bahkan betul mengikut kaedah yang telah ditunjukkan oleh ulama nahu.

Dalam membaca kitab Arab, kita harus mengetahui :

1) Jenis setiap kalimah (sama ada isim, fe'el atau huruf)

2) Mu'rab atau mabni.

3) Kalau ianya mu'rab, apakah pula keadaannya (sama ada rafa', nasab, jar, atau jazam) dan kenapa dii'rab begitu

4) Hubungan antara setiap kalimah dengan kalimah sebelum atau selepasnya (jika ada)


Penerangan

1) Jenis setiap kalimah

Lihat hadis di atas, di sana ada beberapa kalimah.

إن = huruf
ما = huruf
الأعمال = isim
ب = huruf
النيات = isim

Bagaimanakah kita tahu kalimah ini isim dan kalimah itu pula huruf atau fe'el? Untuk mengetahuinya kita mesti tahu alamat-alamatnya. Dan untuk mengetahui alamat-alamatnya, silakan rujuk mana-mana kitab nahu. Untuk pelajar kuliah lughah khususnya, saya galakkan antum rujuk kitab Audoh al-Masalik oleh Imam Ibnu Hisham rahimahullah atau kitab-kitab seumpamanya.

2) Mu'rab atau mabni

Dalam hadis di atas, ada 4 kalimah yang tegolong dalam jenis huruf. Kesemuanya adalah mabni. Kaedah nahu yang harus diingat , 'Semua huruf adalah mabni'.

Adapun kalimah الأعمال dan النيات , keduanya adalah mu'rab dalam jenis isim jamak mukassar munsorif dan jamak muannas salim.


3) Kalau ia mu'rab, apa pula keadaan i'rabnya dan kenapa?

Pada kalimah الأعمال i'rabnya adalah rafa'. Kenapa ia dii'rab rafa'? Kerana huruf إن yang tugas atau amalannya adalah menasabkan isim dan merafa'kan khabarnya tidak dapat menjalankan tugas seperti biasa kerana masuknya huruf ما الكافة padanya.

Sebagai pencerahan, cuba kita lihat ayat ini, (tanpa ما )

إن الأعمالَ بالنيات

Lafaz الأعمال dinasabkan kerana ia jadi isim إن. Kemudian bila dimasukkan ما الكافية , secara automatik amalan إن terhenti dan pada ketika ini الأعمال menjadi rafa' kerana ia adalah mubtada.

Kalimah النيات pula i'rabnya adalah jar kerana masuk padanya huruf jar.


4) Hubungan antara setiap kalimah dengan kalimah yang sebelum atau selepasnya (jika ada)

Dalam hadis di atas, oleh kerana kalimat dalam jumlah atau ayatnya agak sedikit, maka saya rasa lebih sesuai kalau saya gunakan jumlah yang lain.

Kita ambil ayat basmalah misalnya

بسم الله الرحمن الرحيم

Hubungan antara :
i) الباء dan اسم = huruf jar dan majrurnya
ii) اسم dengan lafaz الله = mudhof dan mudhof ilaih
iii) Lafaz الله dengan الرحمن = mausuf dan sifat awal
iv) Lafaz الله dan الرحيم = mausuf dan sifat kedua

Apabila kita perhatikan kepada 4 hubungan di atas, kita akan dapati bahawa tidak semua kalimah itu mempunyai hubungan dengan kalimah yang betul-betul selepas atau sesudahnya.

Kalimah الرحيم misalnya, tiada hubungan dengan kalimah الرحمن namun ada hubungan dengan kalimah jalalah selang sebelumnya.

Kalau ditanya: Kenapa perlu mengetahui hubungan antara kalimah?

Maka saya katakan, mengetahui hubungan antara kalimah adalah sangat penting untuk memelihara daripada salah faham terhadap maksud sebenar yang ingin disampaikan. Oleh kerana perkara ini sangat pentinglah para ulama nahu dalam sesetengah bab telah mengkhususkan perbahasan mengenai wajib, harus atau tertegahnya taqdim dan ta'khir dalam sesetengah hukum i'rab.

Misalnya pada ayat

انما يخشى اللهَ من عباده العلمآءُ

" Hanyasanya yang takut kepada Allah dikalangan hamba-hamba-Nya adalah para ulama" Surah Fathir ayat 28

Kalaulah kita sekadar mengetahui selepas fe'el adalah fa'il kemudian baru maf'ul, nescaya makna ayat ini akan jadi sebaliknya. Dalam ayat ini, lafaz jalalah adalah maf'ul dan fa'ilnya nun jauh di hujung ayat iaitu kalimah العلماء . Oleh kerana itu, mengetahui hubungan antara kalimah amat penting untuk memelihara kita daripada tersalah makna.

Sebenarnya bukan 4 perkara ini sahaja yang harus kita ketahui di dalam mengi'rab jumlah, bahkan ada beberapa perkara lain yang tidak kurang pentingnya. Namun 4 perkara tadi adalah yang asas dan terpenting untuk kita ketahui.

Sama-samalah kita pelihara dan semak semula niat kita dalam belajar ilmu-ilmu Islam terutama ilmu alat sepeti Nahu ini. Kita belajar Nahu bukan untuk bermegah dan berbangga. Bahkan ia adalah kunci untuk kita membuka pintu gedung khazanah ilmu yang ada dalam al-Quran, al-Hadis dan kitab-kitab muktabar yang lain. Wallahu a'lam.

p/s - Sebelum ini tajuk entri adalah 'Cara Meng'irab Jumlah (Bhgn 1). Oleh kerana sambungannya tidak banyak, maka saya gabungkan sekali dalam entri yang sama dan saya hazafkan perkataan 'bhgn 1'. Afwan :)

Wednesday, December 23, 2009

Gambarajah Kitab-Kitab Fiqh Mazhab Syafie

klik untuk besarkan



Assalamualaikum wrt

Di atas adalah gambarajah silsilah kitab-kitab mazhab Imam Syafie rahimahullah yang dijadikan bahan rujukan untuk pengajian dan pengeluaran fatwa semenjak terasasnya mazhab Syafie hinggalah sekarang.

Syukran jazilan kepada penyumbang gambarajah ini iaitu sahabat saya, Ustaz Yasir Sabil. Semoga Allah membalas usaha murni antum ya akhi dengan keredhaan-Nya. Semoga usaha antum bermanfaat kepada umat. Amin.

Tuesday, December 22, 2009

Cinta Kepada Rasulullah s.a.w

Assalamualaikum wrt

Daripada Anas r.a, telah bersabda Rasulullah s.a.w,

لايؤمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من ولده ووالده والناس أجمعين
" Tidak sempurna iman seseorang kamu, sehinggalah diriku lebih dicintainya daripada anaknya, ayahnya dan manusia keseluruhannya." Muttafaqun 'Alaih

Rasa cinta adalah fitrah insani yang tidak mampu disanggah oleh seorang manusia yang normal pemikirannya. Cinta kepada ibu, ayah, adik-beradik, kawan-kawan dan ramai lagi. Seorang pembunuh yang pernah membunuh 1000 jiwa sekalipun, tentu masih ada siapa-siapa di dunia yang dicintainya dan dia tidak sanggup bahkan tidak terlintas pun di hatinya untuk membunuh insan yang dia cintai tersebut. Rasa cinta yang sebegini adalah cinta yang tabi'i.

Imam Nawawi rahimahullah di dalam Syarah Sohih Muslim menukil kalam Imam Abu Sulaiman al-Khottobi tentang yang dimaksudkan dalam hadis ini. Kata beliau, "Tidak murad(dikehendaki) disini cinta yang bersifat tabi'i. Bahkan yang dikehendaki dengannya adalah rasa cinta yang ikhtiari."

Kata Imam al-Khottobi lagi, " Maka maknanya adalah seolah-olah Baginda s.a.w bersabda, 'Tidak benar kamu dalam pengakuan cinta terhadapku sehinggalah dirimu 'tenggelam' dalam mentaatiku, dan engkau melebihkan keredhaanku mengatasi kehendakmu sekalipun kamu mendapat kesusahan kerananya "

Berkata Ibnu Batthol rahimahullah, " Makna hadis ini adalah, siapa yang sempurna imannya akan mengetahui bahawasanya hak Baginda s.a.w adalah melebihi hak orangtuanya, anaknya dan seluruh manusia lain. Ini adalah kerana Baginda lah yang telah bersusah payah menyampaikan risalah Islam kepada kita, sehingga dengannya kita terselamat daripada neraka Allah dan diberi petunjuk daripada mengikut kesesatan."

Antara Tanda Kecintaan Kepada Rasulullah s.a.w

1) Menjadikan Baginda saw Sebagai Qudwah

Antara tanda kecintaan kita kepada Rasulullah saw adalah dengan menjadikannya sebagai qudwah (ikutan) kita, memegang teguh sunnahnya, mencontohi kata-kata dan perlakuannya, mentaatinya dan menjauhi larangannya. Andai kita dikurnia nikmat atau diuji dengan musibah, kita beradab dengan peradaban Baginda saw ketika masa senang dan susahnya.

Firman Allah swt,

{ قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللّهُ }

"Katakanlah wahai Muhammad, 'Sekiranya kalian (wahai umatku) mencintai Allah, maka ikutlah daku, nescaya Allah mencintai kalian" Surah Ali Imran : 31


Firman Allah swt lagi,


{ لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًاِ }

" Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah s.a.w itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingati Allah " surah al-Ahzab : 21

Sabda Rasulullah saw,

لايؤمن أحدكم حتى يكون هواه تبعاً لما جئت به

"Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah kehendaknya mengikut syariat yang kubawa"



Imam Ibnu Kathir rahimahullah ketika mentafsir firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 112, (sila rujuk al-Quran) beliau mentafsir kalimah محسن dengan berkata,
أي : اتبع فيه الرسولَ , (yakni dia ittiba' atau mengikut Rasulullah di dalam amal solehnya).

2) Memperbanyakkan Selawat Ke Atas Rasulullah saw

Selawat yang terbaik adalah menyertakan sekali lafaz الصلاة dan السلام atau apa jua lafaz yang musytaq daripada keduanya.

Firman Allah,


{ إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًاِ }
" Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi s.a.w, (oleh itu) Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah ke atasnya dan ucapkanlah salam penghormatan terhadapnya" Surah al-Ahzab : 56


Tidak kiralah kita menggunakan

1) Sighah masdar seperti صلاة الله و سلامه عليه
2) Sighah fe'el madhi seperti صلى الله عليه و سلم
3) Sighah fe'el mudhari' seperti يصلى الله عليه و يسلم
4) Sighah fe'el amar seperti اللهم صل و سلم عليه

Semuanya boleh digunakan. Yang penting kita jangan jadi umat yang kedekut dan bakhil. Siapakah umat yang bakhil itu?

Sabda Rasulullah s.a.w ,

البخيل من ذكرت عنده و لم يصل علي

" Orang yang bakhil itu adalah dia yang namaku disebutkan namun dia tidak berselawat ke atasku " HR Tirmizi

3) Tidak Memanggil Baginda s.a.w Dengan 'Muhammad' Sahaja

Di dalam masyarakat Melayu kita sendiri, perkara ini adalah maklum. Memanggil orang tua yang layak dipanggil pakcik atau datuk dengan hanya menyebut namanya adalah perbuatan yang dianggap biadab. Begitu juga seorang bawahan memanggil ketuanya dengan menyebut namanya, biasanya dianggap tidak sesuai. Inikan pula Rasulullah saw. Junjungan besar, pemimpin agung, insan terulung. Maka lebih-lebih lagilah kita mesti menghormati Baginda dengan panggilan yang sesuai.

4) Dan Banyak Lagi Tanda-tanda Lain

Kesimpulan

Selepas cinta kepada Allah, cinta kepada junjungan kita Rasulullah s.a.w adalah cinta yang paling agung. Mencintai Baginda bermakna kita mencintai Allah. Mencintai Baginda bermakna kita mencintai apa jua yang dibawa oleh Baginda s.a.w. Mencintai Baginda juga bermakna kita bangga menjadikannya sebagai idola. Bahkan sememangnya Baginda yang paling layak menjadi idola.

Oleh itu, marilah sama-sama kita muhasabah diri kita. Sejauh manakah cinta saya dan kalian kepada Rasulullah s.a.w. Adakah sekadar di bibir, atau sekadar tulisan. Apakah yang telah kita lakukan sebagai tanda kecintaan kita yang mendalam kepada Baginda? Sama-sama lah kita renungkan. Semoga Allah kurniakan hidayah dan taufiq untuk kita mencintai Rasulullah s.a.w dengan ertikata yang sebenar. Wallahu a'lam.



Rujukan,
1) Sohih Bukhari
2) Sohih Muslim
3) Syarah Sohih Muslim oleh Imam Nawawi
4) al-Mu'jam al-Wasit
5) Mushaf Terjemahan al-Quran Ditas-hih oleh Lajnah Pentas-hih Mushaf al-Azhar as-Syarif
6)Mukhtasar Sohih Tafsir Ibn Kathir oleh Syeikh Abu Abdillah Mustafa bin al-Adawi